BANTING: Polis menggeledah pejabat suspek utama kes, seorang peguam bergelar Datuk di sini semalam dan mengambil tujuh unit pemerosesan komputer (CPU) dan satu perkakasan komputer dipercayai modem serta tiga bungkusan yang mengandungi dokumen.

Suspek yang dibawa ke pejabatnya menaiki kereta Proton Waja kelabu, tiba jam 11 pagi sebelum dibawa masuk ke pejabatnya di tingkat satu dan dua bangunan rumah kedai tiga tingkat yang terletak berhadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat.

Premis milik peguam yang juga ahli perniagaan itu dipercayai tutup sehingga minggu depan sempena cuti Aidilfitri.
Petugas media yang menunggu di hadapan pejabat peguam itu seawal jam 8 pagi juga bergegas ke rumah suspek di Taman Cempaka, terletak kira-kira dua kilometer dari pejabatnya di Jalan Kemboja.

Orang ramai juga mula berkumpul selepas menyedari kehadiran petugas media yang menunggu di pejabat firma guaman berkenaan.

Mereka tidak berganjak walaupun polis memasang garisan di kawasan berkenaan bagi menghalang orang awam memasuki ruang di hadapan pejabat itu.

Mereka turut bergegas ke rumah suspek di Taman Cempaka bersama petugas media apabila dimaklumkan suspek akan dibawa ke sana, tetapi bersurai selepas suspek tidak kelihatan.

Sementara itu, Unit Penyelam Pasukan Gerakan Marin masih menyelam di Sungai Kanchong Laut untuk mencari bukti, manakala pasukan forensik mencari bahan bukti di ladang dipercayai milik peguam itu pagi semalam.

Tags: