TERKINI: Datuk Sosilawati bersama 3 individu yang dilapor hilang mati dibunuh dipercayai dibakar..
Polis sudah menahan tujuh suspek dipercayai terbabit dalam kes kehilangan keempat-empat mangsa..
KUALA LUMPUR 11 Sept – Usaha mengesan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga lelaki yang hilang sejak 13 hari lepas masih menemui jalan buntu apabila tidak ada petunjuk baru diperolehi polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata sehingga hari ini tiada apa-apa perkembangan terbaru yang diterima polis bagi membantu siasatan kes tersebut.
“Setakat ini tiada apa-apa maklumat terbaru. Saya berharap mereka yang mempunyai maklumat mengenai mereka agar tampil menghubungi polis bagi membantu siasatan,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Sementara itu, tinjauan di kediaman Sosilawati juga hampa apabila Bernama gagal mendapatkan komen anggota keluarga termasuk anak-anak beliau.
Bagaimanapun seorang pekerja di rumahnya yang sempat ditemui berkata sehingga hari ini anggota keluarga Sosilawati tidak menerima sebarang maklumat berhubung perkembangan terkini daripada polis.
“Keluarga (Sosilawati) tidak menerima sebarang maklumat terbaru mengenainya. Mereka juga tidak mendapat panggilan daripada polis berhubung perkara itu.
“Kesemua ahli keluarga termasuk anak-anak Sosilawati hanya beraya di sini untuk menunggu berita tentang ibu mereka. Mereka juga berharap agar tidak diganggu oleh mana-mana pihak termasuk media,” katanya.
Sosilawati, 47, dan pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan mahu ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.
Anggota keluarga terdekat Noorhisham ketika ditemui Bernama hari ini turut menyatakan perkara yang sama.
“Kami tidak menerima apa-apa perkembangan tentang Noorhisham dari polis sehingga hari ini. Apa-pun kami serahkan pada polis untuk siasat,” katanya yang enggan dikenali.
Jangan spekulasi kehilangan Sosilawati
KUALA LUMPUR 9 Sept – Polis hari ini mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung kes jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki yang dilaporkan hilang bersamanya sejak 30 Ogos lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata sehingga kini polis tidak menerima sebarang maklumat terbaru berhubung kes itu termasuk menerima laporan yang mendakwa Sosilawati mati dibunuh.
Click Here
“Kita masih siasat lagi kes ini. Setakat ini polis masih belum menerima sebarang maklumat terbaru yang boleh membawa kepada penemuan mereka.
“Berhubung khabar angin yang mengatakan dia (Sosilawati) telah mati dibunuh, pihak saya langsung tidak mendengar perkara seperti itu. Apa-apa pun biar polis siasat dahulu,” katanya ketika dihubungi hari ini.Sosilawati, 47, dan pemandunya, Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang ketika berada di Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.
Berikutan kejadian itu, polis menemui kereta BMW milik Sosilawati di Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya dan kereta BMW milik Ahmad Kamil di kawasan perumahan berdepan sebuah hotel di Subang Jaya, Isnin lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata pihaknya sudah menyalurkan maklumat yang diperolehi daripada saksi-saksi berhubung kes terbabit kepada polis Kuala Lumpur (KL).
“Kes ini adalah di bawah siasatan pihak polis KL. Namun apa juga bantuan…apa sahaja kerjasama yang diperlukan kita akan beri dan itu memang amalan pasukan polis.“Ada maklumat yang disalurkan pada pihak kita dan kita sudah pun salurkan (maklumat itu) kepada polis KL termasuk maklumat yang diperolehi dari saksi di Banting berhubung kejadian itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat anggota trafik yang bertugas di khemah Ops Sikap di Sungai Buloh.
Tinjauan di perkarangan rumah Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak dekat sini mendapati rumah itu lengang dan hanya terdapat beberapa individu dipercayai saudara dan kenalan rapat yang berada di rumah berkenaan. – Bernama






0 Comments
You can be the first one to leave a comment.