KOTA BHARU: Ibu kepada kanak-kanak yang disembelih ayah sendiri pada 24 Ogos lalu, Nik Suzila Nik Hashim, 32, hiba memikirkan tidak dapat menyambut Aidilfitri bersama mangsa, walaupun segala persediaan sudah dibuat.
Nik Suzila berkata beliau sudah menyediakan semua keperluan arwah anak lelaki tunggalnya, Mohamad Adam Muzaffar Muhaimin, 3, namun semuanya kini tinggal kenangan kerana tidak sempat memakainya terutama baju baru hari raya.
“Sebelum kejadian malang itu berlaku, saya sudah menyediakan semua keperluan untuknya menyambut hari raya dan arwah kelihatan gembira… tidak sabar hendak melaram pada hari lebaran.
“Bagaimanapun, Tuhan lebih sayangkan Adam, dengan mengambilnya terlebih dulu. Saya bagaikan tidak dapat menerima hakikat akan kehilangan satu-satunya anak lelaki daripada tiga beradik, tambahan kejadian kira-kira tiga minggu sebelum Aidilfitri.
“Memang sukar untuk menerima kenyataan itu, lebih-lebih lagi arwah disembelih ayahnya sendiri, sedangkan mereka dua beranak amat rapat,” katanya ketika ditemui menziarahi kubur arwah anaknya itu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari, 24 Ogos lalu, Adam mati selepas disembelih di bahagian dapur rumah sewa keluarganya di Sungai Budor. Selepas menyembelih mangsa, bapa mangsa yang menghidap masalah mental turut bertindak kelar lehernya sendiri.
Ditanya mengenai sambutan hari lebaran, Nik Suzila berkata, sambutan hari raya tetap diadakan bersama dua lagi anaknya, Siti Aisyah, 2 dan Nur Syafikah, 8, di rumah ibunya, Noraini Ahmad, 58, bersama saudara mara lain.






0 Comments
You can be the first one to leave a comment.