JOHOR BAHRU: Polis sudah mengambil keterangan daripada 39 individu bagi membantu siasatan berhubung penggunaan gambar Sultan Johor, Sultan Ibrahim pada kain rentang satu majlis ceramah politik parti pembangkang di Batu Pahat baru-baru ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata pihaknya merekodkan kenyataan daripada pemilik mesin cetak, beberapa ahli politik dan individu tertentu berhubung siasatan dijalankan mengikut Akta Hasutan 1948 selepas menerima sembilan laporan sejak 31 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat dan pasukan Cawangan Khas kini ditugaskan untuk menyiasat aduan itu. Kami mengambil berat mengenainya serta tidak akan membenarkan mana-mana pihak menggunakan nama Sultan Johor sewenang-wenangnya bagi kepentingan diri, katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri semalam.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya akan merekodkan kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membantu siasatan selain Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng hari ini di Kuala Lumpur.

Kita minta orang ramai bertenang dan kami sudah menempatkan seorang pegawai polis berpangkat Asisten Komisioner melaporkan mengenai perkembangan kes kepada saya setiap hari selain orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai poster terbabit untuk menghubungi ibu pejabat negeri di 07-2212999, ” katanya.

Kelmarin, Sultan Johor ketika bertitah pada majlis penutup Kembara Mahkota Johor (KMJ) Bermotosikal 2010 di Kota Tinggi, murka terhadap tindakan sebuah parti politik yang menggunakan gambar baginda menerusi poster.

Sehubungan itu, baginda bertitah kepada rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan tindakan sedemikian yang boleh memecah-belahkan kerukunan hidup bermasyarakat di negeri ini.

Sementara itu, Mohd Mokhtar mendedahkan pihaknya mengesan terdapat pihak tertentu menjual sijil Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Kedua (PIS II) dengan bayaran serendah RM5,000 untuk menipu orang ramai.

Orang ramai yang ditawarkan dengan PIS II atau sebarang pingat yang meragukan dengan menjual nama Sultan diminta supaya menghubungi Setiausaha Jemaah Majlis Diraja Johor 07-2220351 atau 07-2221415 dan talian hotline polis 07-2221999. [Berita Harian]

Tags: