KUALA NERANG: Kawasan Hutan Lipur Puncak Janing, dekat sini ditutup kepada orang ramai sejak hampir sebulan lalu selepas air Sungai Janing, di situ dikesan tercemar oleh kuman `leptospirosis’ atau kencing tikus.
Penutupan itu bagi membolehkan pihak berkuasa melakukan siasatan berikutan ada kes sebelum ini yang membabitkan pengunjung yang baru pulang berkelah di pusat rekreasi berkenaan mengalami tanda-tanda dijangkiti penyakit kencing tikus, bulan lalu.
Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Marzuki Md Isa, berkata penutupan hutan lipur itu mungkin mengambil masa sehingga seminggu atau dua minggu lagi untuk memudahkan pihak berkuasa menyiasat tahap kebersihan air sungai berkenaan.
“Jika ada penduduk yang menggunakan sumber air berkenaan untuk kegunaan harian mereka, kita nasihatkan mereka memasak air terlebih dulu sebelum minum.
“Bagi mereka yang menggunakan air sungai itu untuk mandi, risiko dijangkiti kuman itu juga boleh berlaku.
“Kita nasihatkan orang ramai yang menggunakan air sungai itu dan mengalami tanda-tanda sakit kepala atau demam berpanjangan supaya mendapatkan segera rawatan di klinik kesihatan atau hospital,” katanya ketika dihubungi mengenai penutupan kawasan perkelahan itu, semalam.
Dr Marzuki bagaimanapun enggan mendedahkan bilangan mangsa yang dijangkiti penyakit itu dan memberitahu ada juga pesakit yang kini menjalani rawatan di hospital.
Kes itu adalah yang kedua berlaku di negara ini selepas Pusat Rekreasi Lubuk Yu di Maran, Pahang dikesan dicemari wabak kencing tikus yang meragut tujuh nyawa bulan lalu.
Sementara itu, tinjauan Berita Harian di hutan lipur itu mendapati kawasan terbabit dipasang tali oleh Jabatan Perhutanan Kedah serta beberapa notis amaran kepada pengunjung ditampal di situ untuk memaklumkan ia ditutup sejak 8 Julai lalu bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Difahamkan, kira-kira 1,000 penduduk di dua kampung berhampiran kawasan berkenaan, iaitu Kampung Pasir Putih dan Kampung Baru juga terpaksa menggunakan sumber air sungai berkenaan untuk minum dan kegunaan harian.
Tinjauan semalam turut mendapati ramai pengunjung datang ke pusat rekreasi itu untuk berkelah, tetapi terpaksa pulang selepas membaca notis larangan berkelah yang ditampal di situ.
Seorang pengunjung, Musa Mustafa, 20, dari Sungai Petani berkata, dia dan dua rakannya datang ke kawasan perkelahan itu untuk berkelah, bagaimanapun hampa dan terkejut selepas mendapat tahu punca penutupan pusat rekreasi itu.
“Apabila terbaca notis larangan itu, saya dan rakan terpaksa mengubah rancangan dan tidak jadi berkelah kerana bimbang dijangkiti wabak berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Penduduk Kampung Pasir Putih, Mohd Alias Mustafa, 19, berkata, air sungai berkenaan menjadi kegunaan seharian penduduk dua kampung di situ untuk minum dan mencuci pakaian kerana ia satu-satunya sumber air bersih yang terdapat di sekitar kawasan itu.
“Kami tidak mempunyai pilihan kerana hanya bekalan air dari sungai itu saja yang ada untuk kegunaan harian,” katanya. [Berita Harian]






0 Comments
You can be the first one to leave a comment.