KOTA BHARU, 13 Ogos (Bernama) — Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyokong penuh cadangan kerajaan mengenakan hukuman lebih berat terhadap kes buang bayi bagi membendung gejala itu yang semakin berleluasa di negara ini.
Mursyidul Am PAS itu berkata hukuman lebih berat itu adalah menepati ajaran Islam supaya dapat memberi pengajaran kepada pelaku dan bakal pelaku.
Beliau juga bersetuju sekiranya hukuman bunuh dikenakan ke atas kes membabitkan kes buang bayi yang menyebabkan bayi itu mati, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di Medan Ilmu di sini pada Jumaat.
Nik Abdul Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan kerajaan mengarahkan polis menyiasat kes pembuangan bayi sebagai kes percubaan bunuh atau bunuh yang boleh dijatuhi hukuman gantung.
Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, Jemaah Menteri telah bersetuju bahawa kerajaan perlu mengambil tindakan yang lebih berkesan bagi membendung penularan kes tersebut kerana kejadian buang bayi masih berleluaasa walaupun kerajaan mengambil pelbagai inisiatif untuk menanganinya.
Menteri Besar Kelantan itu berpendapat undang-undang sekarang lebih “bersimpati” kepada penjenayah buang bayi yang menyebabkan gejala itu masih berleluasa.






1 Comments
Saya sebagai warga malaysia juga setuju atas cadangan kerajaan mengenakan hukuman berat terhadap kes buang bayi yang tidak berperikemanusian. Sebab sekarang dalam negara malaysia kita terdapat semakin ramai remaja yang membuang bayi merata-rata tempat. Remaja tidak bersimpati atau pun kasihan terhadap bayi yang dibuang, jadi saya berharap kerajaan juga jangan bersimpati terhadap remaja tersebut. Mereka hanya tahu berseronok tetapi apabila mereka mengandung, mereka tidak mahu bertanggungjawab terhadap bayi tersebut. Bayi juga adalah satu nyawa dan tidak berdosa. Apabila remaja membunuh atau membuang bayi yang tidak berdosa itu, boleh dikatakan PEMBUNUHAN. Saya juga seorang ibu kepada 2 orang anak, apabila saya membaca suratkhabar atau mendengar berita kes-kes buang bayi, hati saya rasa sayu dan sedih kenapa remaja kita sekarang menjadi bergini. Jadi saya amat berharap kerajaan akan mengenakan hukuman yang lebih berat.