KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini memutuskan bahawa keputusan yang dibuat oleh Tengku Muhammad Faris, yang juga Pemangku Raja Kelantan, melucutkan adindanya, Tengku Muhammad Fakhry daripada senarai bakal pewaris takhta tidak boleh diadili atau dicabar di mahkamah.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Rayuan Kuasa-Kuasa Khas), Mohamad Ariff Md Yusof memutuskan bahawa isu-isu berkaitan dengan Majlis Perajaan Negeri Kelantan dan Undang-Undang tubuh Negeri Kelantan tidak boleh diadili.

Sehubungan itu Tengku Muhammad Fakhry yang juga Tengku Temenggong Kelantan gagal dalam usahanya untuk mendapatkan kebenaran bagi mencabar keputusan Tengku Faris yang melucutkannya daripada senarai bakal pewaris takhta Kelantan pada 16 September lalu, di Mahkamah Tinggi hari ini.

Tengku Muhammad Fakhry, 31, yang juga suami Manohara Odelio Pinot diwakili peguam, K Shanmuga.

Tengku Muhammad Faris diwakili peguam, Datuk Cecil Abraham, manakala Peguam Kanan Persekutuan, Datin Azizah Nawawi mewakili Pejabat Peguam Negara.

Tags: