MEMETIK kenyataan Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat selepas menyampaikan kuliah Jumaat, pagi tadi tidak ada cacatnya pada laporan Bernama berhubung penyaluran wang royalti minyak Kelantan namun pertubuhan berita nasional itu cuba melakukan ‘spin’ apabila menyelitkan perkataan wang ehsan di samping wang royalti pada tajuk beritanya.

Dengan memberikan tajuk “Nik Aziz jamin mampu urus sendiri wang royalti atau ihsan” disusuli perenggan pertama beritanya, “Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi jaminan sebarang wang pemberian daripada Kerajaan Pusat, sama ada wang royalti atau ihsan tidak akan disalahgunakan dan sampai kepada rakyat jika disalurkan terus kepada kerajaan negeri” ia secara tidak langsung ingin memberitahu pembacanya bahawa Kelantan tiada masalah untuk menerima dan pada masa sama mengiktiraf pemberian wang ehsan. (Lihat Rakaman Temuramah Klip Video Mediakini)

Sedangkan Tok Guru Nik Aziz sudah bertegas hanya mengiktiraf wang royalti dan tidak pernah mengiktiraf jika ia diberi atas nama wang ehsan bahkan beliau sendiri enggan terlibat dan melarang pemimpin kerajaan negeri turut sama berada dalam jawatankuasa wang ehsan yang akan dibentuk kerajaan Barisan Nasional.

Sebaliknya Kerajaan PAS Kelantan tidak mengiktiraf pemberian wang ihsan dan bertegas wang tersebut harus berstatus wang royalti serta disalurkan terus kepada akaun Kerajaan Negeri.

Baru-baru ini Tok Guru telah menolak tawaran Kerajaan Pusat menyertai jawatankuasa rundingan pemberian wang ehsan yang akan diagih kepada rakyat Kelantan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan.

Portal berita Malaysiakini turut menyiarkan sepenuhnya laporan Bernama berkenaan di laman webnya namun tidak menyelitkan perkataan wang ehsan pada tajuk beritanya. Begitu juga Berita Harian Online menyiarkan laporan Bernama berkenaan dengan tajuk yang sama.

——–

Nik Aziz Jamin Mampu Urus Sendiri Wang Royalti Atau Ihsan

KOTA BAHARU, 5 Feb (Bernama) — Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi jaminan sebarang wang pemberian daripada Kerajaan Pusat, sama ada wang royalti atau ihsan tidak akan disalahgunakan dan sampai kepada rakyat jika disalurkan terus kepada kerajaan negeri.

Beliau berkata pengalaman mentadbir Kelantan kira-kira 20 tahun membuktikan kerajaan negeri pimpinan PAS tidak menyeleweng atau menyalahgunakan wang yang diperuntukkan bagi kepentingan rakyat.

“Kami boleh mengurus dan mentadbir sendiri wang daripada Kerajaan Pusat itu, walaupun tanpa melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu di sini.

Nik Aziz berkata demikian mengulas mengenai cadangan Kerajaan Pusat untuk menyalurkan wang ihsan melalui JPP dan tidak disalurkan terus kepada kerajaan negeri itu kerana dikhuatiri tidak sampai ke matlamat asal untuk kepentingan rakyat.

“Sepanjang 20 tahun mentadbir negeri ini, pegawai kami amanah, tidak rasuah dan inilah yang ditarbiahkan supaya menjadi manusia yang beriman dan bertakwa,” kata Nik Aziz.

Ditanya mengenai kenyataannya semalam yang mengajak Umno duduk semeja untuk membincangkan isu agama, Nik Aziz berkata beliau bersedia bila-bila masa untuk mengadakan perbincangan dengan Umno mengenai agama Islam.

Menurutnya persoalan yang beliau ingin tekankan ialah mengapa Umno menolak perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.

Beliau berkata jika Umno berjaya menjelaskan kepada PAS bahawa prinsip perjuangan yang dibawa parti menyalahi Islam, beliau bersedia menerima Umno.

——–

Kelantan tolak tawaran anggotai panel royalti minyak

KOTA BAHARU, 24 Jan (Bernama) — Kerajaan Kelantan menolak sebarang pelawaan daripada Kerajaan Pusat untuk menganggotai jawatankuasa perundingan wang ihsan yang bakal dibentuk tidak lama lagi, kata Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Nik Aziz berkata beliau juga tidak akan memenuhi jemputan, malah tidak akan membenarkan mana-mana wakil daripada kerajaan negeri menduduki jawatankuasa itu.

“Kalau hendak beri wang ihsan, tak perlu berundinglah, saya tidak akan menerima wang ihsan itu.

“Saya tidak akan pergi sekiranya dijemput (menyertai jawatankuasa itu) dan menolak 100 peratus jemputan jawatankuasa perundingan itu,” katanya kepada pemberita di kediaman rasmi Menteri Besar di JKR 10 di sini, hari Ahad.

Mursyidul Am PAS itu diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin semalam mengenai jemputan kepada kerajaan negeri untuk melantik wakil dalam jawatankuasa wang ihsan itu.

Menurut Dr Awang Adek, tujuan jemputan wakil kerajaan negeri bagi memberi ruang wakil kerajaan negeri untuk terbabit sama dalam perbincangan selain memberi pandangan mengenai tindakan yang perlu dilakukan dengan wang ihsan yang disalurkan ke Kelantan nanti.

Tags: