Nik Suzila mahu lupakan tragedi ngeri dan bina hidup baru

KOTA BHARU 25 Ogos – Ibu Mohd. Adam Muszhaffar, 3, budak yang mati disembelih oleh bapanya di Kampung Sungai Budor di sini semalam, hari ini memaafkan perbuatan suaminya itu kerana menyedari dia dalam keadaan sakit.

Nik Suzila Nik Hashim, 32, juga sanggup dan berusaha untuk melupakan kejadian itu demi membina semula hidup baru.

Namun dia yang masih trauma mengakui belum pasti untuk meneruskan hidup dengan suaminya itu sekiranya dibebaskan daripada tuduhan membunuh.

Nik Suzila mengakui masih trauma dengan tindakan suaminya yang sanggup menyembelih anak sendiri hingga mati.“Saya tidak fikir lagi untuk bersama dengan dia atau tidak selepas ini, lagi pun saya masih ada dua lagi anak.

“Rasa bimbang tentang keselamatan mereka tetap ada. Buat masa ini saya harungi apa yang sedang berlaku sekarang.

“Ia berlaku tanpa dijangka kerana Adam amat rapat, anak yang paling dia (suspek) sayang. Apa yang Adam nak, pasti dia tunaikan,” katanya ketika ditemui di rumah ibu bapanya di sini hari ini.

Dalam kejadian menyayat hati kira-kira pukul 12 tengah hari semalam, suspek berusia 33 tahun itu hilang kewarasannya dan bertindak menyembelih anak keduanya, Mohd. Adam Muszhaffar dengan kejam menggunakan sebilah pisau.

Suspek kemudian cuba membunuh diri dengan mengelar lehernya, bagaimanapun dia yang turut mengalami kecederaan ditahan anggota polis dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini untuk rawatan.

Mayat Adam ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah oleh Nik Suzila yang menyedari kejadian tersebut selepas mendengar jeritan kuat daripada mangsa.

Suspek yang sedang dirawat di hospital terbabit telah ditahan reman selama lima hari bermula hari ini.

Nik Suzila berkata, dia percaya sekiranya suaminya waras perkara tersebut tidak akan berlaku kerana lelaki itu amat menyayangi anaknya.

“Sebelum ini dia tidak pernah marah anak-anak terutama Adam kerana dia seorang bapa yang penyayang,” katanya.

Dia yang tidak dapat menahan sebak berkata, mereka sekeluarga telah membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri termasuk membeli baju baru.

“Adam sudah beli baju raya, dia sendiri pilih baju, seluar dan kasut ini. Saya tidak boleh tengok baju dan seluar ini, kami beli baju ini sebelum puasa lagi sebab tidak mahu suami saya tertekan.

“Kakak ipar saya, Marhaini, yang belikan baju raya ini kerana dia tahu suami saya sakit dan dia takut adiknya tertekan,” katanya. – Utusan Malaysia

Suzila maafkan suami

KOTA BHARU – Nik Suzila Nik Hashim, isteri kepada pesakit mental, Muhaimin Sautar yang kini direman selama lima hari kerana disyaki menyembelih anak lelaki tunggal mereka hingga mati di Kampung Sungai Budor, dekat sini, kelmarin memberitahu dia belum membuat keputusan untuk terus bersama lelaki itu tetapi tetap memaafkan perbuatan kejam suaminya.

Ibu kepada tiga anak tersebut tetap reda dengan apa yang berlaku dan menyifatkan Mohd. Adam Muszhaffar, 3, sebagai anak yang paling rapat dan disayangi oleh Muhaimin, 33, apatah lagi wajah mereka berdua seiras.

“Saya reda tetapi sedikit terkilan kerana arwah menemui ajalnya dalam keadaan begitu. Saya tahu bukan niat Muhaimin untuk melakukan perkara sedemikian tapi, dia sakit. Dia terlalu sayangkan arwah dan tidak mungkin dia sanggup melakukan sedemikian sekiranya dia normal.

“Saya maafkan perbuatan dia tetapi pada masa sama saya bimbang keselamatan dua lagi anak saya iaitu Shafiqah, 8, dan Siti Aishah, 2, jika saya masih bersamanya selepas ini,” katanya ketika ditemui semalam. – Kosmo

Tags: