Mahkamah putuskan Rasidi tidak siuman ketika bunuh 4 ahli keluarganya
SEREMBAN 7 Sept – Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan Rasidi Ismail yang menghadapi tuduhan membunuh empat ahli keluarganya pada 5 Januari lalu atas alasan dia tidak siuman.
Dengan keputusan itu Rasidi, 32, terlepas hukuman gantung dan diperintahkan ditahan di Penjara Kajang, Selangor sehingga mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin membuat keputusan itu kira-kira pukul 10.30 pagi selepas mendapati Rasidi disahkan menghidap penyakit paranoid schizophrenia iaitu halusinasi, ilusi, paranoid dan kepercayaan palsu oleh Hospital Permai, Johor.
Rasidi yang memakai kemeja berwarna hitam dan duduk di kandang tertuduh kelihatan tenang ketika keputusan dibacakan oleh Ahmad Nasfy.
“Walaupun di peringkat awal pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, bagaimanapun pada akhir kes saksi dari Pakar Runding Forensik Psikiatri Hospital Permai, Dr. Badi’ah Yahya memberitahu mahkamah bahawa tertuduh mengalami paranoid schizophrenia.
Rasidi bebas tuduhan bunuh
RASAH 7 Sept – Rasidi Ismail hari ini dibebaskan daripada pertuduhan membunuh empat ahli keluarganya pada awal Januari lalu setelah didapati tidak waras semasa melakukan perbuatan tersebut.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Seremban, Datuk Ahmad Nasfy Yasin bagaimanapun memerintahkan penganggur tersebut ditahan di Penjara Kajang, Selangor sehingga mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir.
Rasidi, 32, yang berkemeja hitam lengan panjang dan berseluar jean biru kelihatan tenang ketika keputusan itu dibacakan.
Dalam penghakimannya, Ahmad Nasfy menyatakan bahawa Rasidi disahkan menghidap penyakit skizofrenia iaitu mengalami halusinasi, ilusi, paranoid dan kepercayaan palsu oleh pakar dari Hospital Permai, Johor.
‘‘Walaupun pada peringkat awal pihak pendakwaan berjaya mengemukakan serta membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, bagaimanapun pada akhir kes ini, saksi terakhir, Pakar Runding Forensik Psikiatri Hospital Permai, Dr. Badi‘ah Yahya memberitahu mahkamah bahawa tertuduh mengalami paranoid skizofrenia.
‘‘Menurut Dr. Badi‘ah, hasil pemeriksaannya ke atas tertuduh, dia didapati mengalami sejenis penyakit mental serta kerosakan psiko sosial yang dialami selama dua tahun sebelum kejadian tetapi tidak pernah mengambil rawatan,’’ katanya.
Menurut Ahmad Nasfy, doktor pakar berkenaan turut merumuskan tertuduh tidak sedar ketika kejadian berlaku ekoran terpengaruh kepercayaan palsu selepas mendapat arahan tulisan di dinding dan bisikan suara halus.
‘‘Ketika kejadian tertuduh disahkan berada dalam keadaan tidak siuman dan tidak sedarkan diri akibat pengaruh penyakit paranoid skizofrenia,’’ katanya.
Rasidi dibicarakan atas tuduhan membunuh bapanya, Ismail Awang, 76; datuk, Atan Daud, 87; dan nenek, Sufiah Katas, 80, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, di sini antara pukul 7 dan 11 pagi, 5 Januari lalu.
Tertuduh juga dituduh membunuh adiknya, Siti Khadijah, 22, di rumah bernombor 119, Kampung Batang Rokan pada tarikh dan waktu sama.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala tertuduh diwakili peguam bela, Hanif Hassan.
Sementara itu, kira-kira 20 ahli keluarga Rasidi yang hadir ke mahkamah hari ini termasuk ibunya Zaharah Atan, 59, menitiskan air mata kesyukuran serta membaca doa selamat di luar pekarangan mahkamah selepas mendengar keputusan itu.
Rasidi yang dibawa keluar dari mahkamah itu kemudiannya dikerumuni ahli keluarganya selain dipeluk cium sebelum dibawa ke Penjara Kajang. – Utusan Malaysia






0 Comments
You can be the first one to leave a comment.