PORT DICKSON 4 Sept – Hasil bedah siasat terhadap seorang ustazah dan anak lelakinya yang ditemui mati dibunuh di sebuah flat di Jalan Sutera Lama berhampiran pasar besar di sini semalam, menunjukkan kedua-duanya meninggal dunia akibat sesak nafas.
Ketua Polis daerah, Supritendan Baljeet Singh berkata, ia dipercayai disebabkan mulut dan kepala kedua-dua mangsa ditutup dengan pita pelekat dan kain sarung.
“Kami (polis) belum mengetahui kesan kecederaan lain dan masih menunggu laporan penuh hasil bedah siasat Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban.
“Biasanya laporan penuh itu akan selesai dan diterima selewat-lewatnya seminggu,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiada kesan pecah rumah dan kita percaya penjenayah masuk melalui pintu depan sebelum menguncinya ketika keluar,” ujar beliau.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi talian Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) iaitu 06-6462999 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
Sementara itu suasana sayu dan hiba menyelubungi rumah mangsa bunuh, Norliza Ishak, 35, dan anaknya, Amirul Ayman Mohd. Yusof, 10, di Kampung Pulau Beluru, Tumpat di sini, hari ini, apabila seluruh ahli keluarga dan sahabat handai mangsa berkumpul menziarah jenazah kedua-duanya.
Suami Norliza, Mohd. Yusof Awang Besar, 37, yang difahamkan bertolak dari Kaherah, Mesir, tengah malam semalam, turut kelihatan di rumah tersebut pada pukul 4.45 petang ini.
Suami mangsa terpaksa dipapah ahli keluarganya untuk memasuki rumah mereka kerana tidak dapat mengawal diri akibat terlalu sedih.
Jenazah kedua-dua beranak itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pinang kira-kira pukul 6.30 petang.
Hanya jasad Norliza, Amirul yang pulang
TUMPAT – Suami Norliza Ishak yang ditemui mati dibunuh bersama anaknya, Amirul Ayman Mohd. Yusof di flat di Jalan Sutera Lama, Port Dickson kelmarin sempat pulang bagi menyaksikan jenazah kedua-dua insan yang disayanginya itu buat kali terakhir sebelum dikebumikan.
Mohd. Yusof Awang Besar, 37, yang bergegas pulang dari Kaherah, Mesir tiba di Kota Bharu kira-kira pukul 4.30 pagi semalam.
Bagaimanapun dia yang masih terkejut dan sedih dengan insiden kematian dua beranak itu kelihatan tidak dapat menahan sebak di atas tragedi yang berlaku enggan ditemu bual.
Difahamkan Mohd. Yusof berniaga kedai makan di bandar raya Kaherah selepas menuntut di Universiti Al-Azhar dalam bidang Usuluddin dan berkahwin dengan Allahyarham ketika belajar di sana.
Sementara itu, jenazah Norliza dan Amirul Ayman yang tiba dari Hospital Port Dickson di Hospital Tumpat pada pukul 6 pagi semalam selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pinang di sini petang ini. – Kosmo






2 Comments
Salam dan takziah buat keluarga beliau.Sedih hingga menitis air mata dan sebak bila mengetahuinya kerana memang mengenalinya semasa di Mesir. Moga Allah SWT meletakkan beliau dan anaknya di kalangan golongan orang Soleh.Moga orang yang tidak berperi kemanusiaan itu pula tertangkap dan dijatuhi hukuman berat.
salam takziah buat keluarga beliau.
saya turut berasa sedih atas kematian beliau.