KOTA BHARU 15 Sept – Pengisytiharan Pelantikan Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru kelmarin, bagi menggantikan ayahanda baginda, Sultan Ismail Petra Ibni Sultan Yahya Petra yang gering sejak setahun lalu tidak boleh dicabar mana-mana mahkamah.
Ahli Majlis Perajaan Negeri (MPN) Kelantan, Datuk Shukri Mohamad berkata, pengisytiharan pelantikan dan keputusan itu berdasarkan kepada Pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.
“Jadi keputusan MPN berhubung pelantikan Sultan Kelantan yang baru dibuat mengikut Perlembagaan di bawah undang-undang tubuh Kerajaan Negeri itu tidak boleh dicabar,” katanya pada sidang media di Pejabat Sultan Kelantan di Istana Balai Besar di sini, semalam.
Turut hadir pada sidang media itu Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad.
Shukri yang juga peguam berkata, beliau dititahkan Sultan Kelantan bagi mengadakan sidang media tersebut berhubung laporan akhbar mengenai kenyataan seorang peguam dari firma guaman Tetuan Rashid Zulkifli yang mendakwa mewakili Sultan Ismail Petra, kelmarin, yang mempertikaikan keputusan MPN mengadakan majlis pengisytiharan pelantikan Sultan Kelantan yang baru itu.
“Pelantikan Tetuan Rashid Zulkifli sebagai peguam kepada Sultan Ismail Petra masih lagi dipertikaikan dan kini sedang dicabar.
“Ini adalah suatu perkara yang akan diputuskan Mahkamah Persekutuan melalui petisyen No 1, 2010 dan Petisyen 2, 2010 berikutan ketidakupayaan Sultan Ismail berikutan kegeringannya,” katanya.
Beliau berkata, sehingga kini peguam terbabit masih gagal mengemukakan apa-apa dokumen perubatan bagi membuktikan Sultan Ismail Petra mempunyai keupayaan yang diperlukan untuk mengarahkan firma tersebut bertindak bagi pihak baginda berhubung dengan prosiding di depan Mahkamah Persekutuan sekarang.
“Tetuan Rashid juga gagal untuk mendedahkan apa-apa keterangan perubatan yang menunjukkan Sul:tan Ismail Petra mempunyai keupayaan untuk memahami kandungan petisyen dan afidavit yang didakwa difailkan di Mahkamah Persekutuan melalui petisyen no 1 2010 dan petisyen no 2 2010 terbabit,” katanya.
Beliau berkata, Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) boleh dan telah dipinda dengan cara perisytiharan oleh Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan dengan izin dan persetujuan Majlis Penasihat Raja.
Shukri berkata, kedua-dua petisyen yang didakwa telah difailkan Tetuan Rashid Zulkifli di Mahkamah Persekutuan bagi pihak Sultan Ismail Petra adalah tidak relevan dengan isu sama ada pindaan-pindaan berasaskan Perkara 3 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kelantan adalah sah atau tidak.
Pelantikan Tuanku Faris Petra ikut Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan
KOTA BHARU: Pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru mulai kelmarin, tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah kerana dibuat berdasarkan Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan.
Penasihat Undang-Undang Istana Kelantan, Datuk Shukri Mohamad, berkata urusan pelantikan dan pemasyhuran seseorang Sultan Kelantan dibuat mengikut kuasa ditetapkan dalam Perkara 6 Perlembagaan itu.
Beliau berkata, Perkara 6 menyatakan tiada sesiapa boleh dilantik dan disahkan menjadi Sultan Kelantan melainkan pelantikan dan pengesahan itu dibuat Majlis Perajaan Negeri (MPN) Kelantan.
“MPN Kelantan adalah badan diberi kuasa oleh undang-undang tubuh negeri Kelantan melantik dan memasyhurkan seorang Sultan mengikut undang-undang. Jadi, pemasyhuran ini tidak boleh dibawa ke mahkamah.
“Keputusan dibuat kerajaan negeri semalam (kelmarin) berdasarkan peruntukan Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri dan ia adalah tepat serta sah di sisi undang-undang, malah daripada 17 anggota MPN, 15 yang hadir sebulat suara bersetuju dengan pemasyhuran itu,” katanya pada sidang media di Pejabat Sultan Kelantan di Istana Balai Besar, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad.
Beliau merujuk laporan memetik kenyataan peguam Tetuan Rashid Zulkifli, yang mendakwa mewakili Tuanku Ismail Petra memfailkan dua petisyen mencabar pertabalan Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru.
Shukri yang juga Ahli MPN Kelantan, berkata MPN berharap keputusan pemasyhuran ini menjadi titik penamat kepada segala krisis yang berlaku selama ini, jika ia dianggap sebagai krisis.
“Kita semua perlu kembali kepada peruntukan undang-undang sedia ada dan harus bersama mempertahankan institusi raja berperlembagaan yang diamalkan melalui sistem demokrasi berparlimen,” katanya.
Sumber dari Pejabat Peguam Negara pula berkata, pemasyhuran itu sah mengikut perundangan, malah kerajaan negeri atau Pusat juga tidak boleh campur tangan.
Katanya, berdasarkan pengamatan Pejabat Peguam Negara, segala prosedur perundangan yang diperlukan untuk mengisytihar Pemangku Raja sebagai Sultan Kelantan yang baru juga dipatuhi MPN.
Sementara itu, sumber Istana Kelantan memberitahu, Tuanku Ismail Petra akan mencabar keputusan MPN memasyhurkan Tuanku Muhammad Faris sebagai Sultan Kelantan yang baru.
“Tuanku Ismail Petra tidak mengiktiraf, tidak akan membiarkan perkara itu berlaku dan akan menggunakan apa saja cara untuk mencabar keputusan itu. Baginda juga akan memfailkan petisyen mencabar keputusan itu di mahkamah,” kata sumber itu lagi. — Berita Harian






0 Comments
You can be the first one to leave a comment.