IPOH: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk R Ganesan menjelaskan tindakannya menggantung bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (PAS – Pasir Panjang) daripada menghadiri persidangan dibuat selepas Ketua Pembangkang itu terus ingkar dengan peraturan DUN walaupun berulang kali diberi amaran.

Beliau berkata, tindakan Mohammad Nizar yang terus berdiri dan berucap tanpa mengendahkan arahan supaya duduk sehingga pembahas seterusnya gagal berucap, selain gagal menghormati kedudukannya sebagai Speaker, jelas melanggar peraturan DUN.

Katanya, beliau menggunakan peruntukan Seksyen 44 (2) Perintah Tetap DUN yang memberi kuasa kepada Speaker mengeluarkan mana-mana Ahli DUN yang berkelakuan haru-biru dan tidak mengendahkan perintah Speaker.

“Saya sudah beri peluang dia berucap tapi sering bercakap `lari daripada tajuk’ yang dibahaskan. Bila saya keluarkan arahan penggantungan, beliau risau kerana bimbang tidak dibenarkan menghadiri persidangan akan datang dan cuba merayu tetapi saya tidak layan sebab penggantungan itu hanya untuk persidangan hari ini (semalam) saja,” katanya pada sidang media selepas selesai sidang DUN.

Ganesan turut menafikan dakwaan bekas Speaker, V Sivakumar bahawa tindakan menggantung Mohammad Nizar dibuat selepas menerima arahan yang diberikan menerusi sekeping kertas. [Berita Harian]

Tags: