IPOH: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak semalam kecoh berikutan tindakan pembangkang ‘menyerang’ wakil kerajaan negeri hingga menyebabkan Speaker, Datuk R Ganesan terpaksa menggantung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (PAS-Pasir Panjang).
Tindakan itu diputuskan Ganesan selepas Mohammad Nizar enggan berhenti daripada membahaskan usul Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2010 yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, walaupun tempoh 15 minit diperuntukkan kepadanya tamat.
Ganesan sebelum itu beberapa kali meminta Mohammad Nizar duduk, tetapi tidak diendahkan, menyebabkan Speaker membuat keputusan tegas itu selepas kesemua 32 wakil Barisan Nasional (BN) dan Bebas bersetuju dengan usul yang dibawa Datuk Ramly Zahari (BN-Manong).
Ramly mencadangkan satu usul mengikut Perkara 44 (5) Perintah Tetap DUN bahawa Speaker mempunyai kuasa menggantung anggota dewan yang diarah keluar sehingga persidangan itu tamat.
Keputusan itu menyebabkan semua wakil pembangkang keluar beramai-ramai memboikot sidang DUN.
Sebelum itu, Ganesan juga beberapa kali menegur Mohammad Nizar kerana tidak menghormati jawatan Speaker DUN apabila enggan menyebut `Tuan Speaker’ atau `Tuan Yang Dipertua’ yang lazim digunakan apabila berbahas, sebaliknya hanya menyebut `Datuk Ganesan’.
Sidang DUN sebelum itu juga tegang berikutan pertikaman lidah Zambry dan Mohammad Nizar hingga Menteri Besar itu mencabar ADUN PAS itu berdebat secara terbuka dengannya.
Malah, Menteri Besar turut mengkritik Mohammad Nizar yang memulakan ucapan dengan petikan ayat al-Quran yang antara lain menyeru supaya menjadi orang yang bertakwa dan bercakap benar, tetapi ucapan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu kemudian dipenuhi dengan cercaan serta pelbagai tuduhan terhadap kerajaan.
Mohammad Nizar turut membangkitkan kemarahan wakil tunggal MCA dalam DUN, Datuk Dr Mah Hang Soon (MCA-Chenderiang) apabila menggelar Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai `penzina’ dan `kaki betina’ berikutan skandal video seksnya sebelum ini.
Dr Mah bangkit menuntut Mohammad Nizar menarik balik perkataan itu dan meminta maaf kepada DUN tetapi beliau enggan berbuat demikian.
Sesi soalan lisan juga kecoh apabila pembangkang tidak berpuas hati selepas Ganesan mengarahkan Bentara DUN merampas kamera daripada Nga Kor Ming (DAP-Pantai Remis) selepas Zambry membangkitkan tindakan Nga merakamkan gambar di DUN.
Ganesan pada awal persidangan mengumumkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilarang membawa peralatan elektronik bagi merakamkan gambar sepanjang persidangan.
ADUN pembangkang turut membuat pelbagai gangguan ketika Zambry menjawab soalan Tan Sri Mohd Tajol Rosli Ghazali bagi menjelaskan kedudukan Bajet Defisit 2010 negeri, menyebabkannya menempelak pembangkang.
“Pembangkang memang tak ada adab. Tidak pernah berlaku kebiadapan seperti ini ketika sesi soal jawab dalam sejarah kita,” katanya. [Berita Harian]






0 Comments
You can be the first one to leave a comment.