KANGAR: Empat pegawai Majlis Perbandaran Kangar (MPK) semalam diarah keluar dari bilik mesyuarat penyelesaian aduan di Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) negeri, di sini oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T Murugiah.
Murugiah bertindak demikian selepas berang apabila pegawai terbabit tidak dapat memberikan penjelasan munasabah mengapa masalah yang dihadapi penduduk di lima taman perumahan, di sini masih tidak dapat diselesaikan, walaupun berlarutan sejak lebih lima tahun lalu.
Lima taman perumahan itu ialah Taman Sena, Taman Harmoni, Taman Koperasi, Taman Norma dan Taman Seri Intan, yang dianggar menempatkan lebih 3,000 penduduk.
Murugiah berkata, beliau kecewa dengan MPK kerana menghantar pegawai yang lemah apabila mereka bukan saja tidak dapat memberikan jawapan konkrit kepada masalah dihadapi, malah jauh sekali membuat keputusan.
“Saya hairan kenapa pihak pengadu boleh tampil dengan persediaan rapi, termasuk menyediakan segala dokumen dan gambar sebagai sokongan kepada aduan dibuat sejak 2006. Sebaliknya, MPK hanya tampil dengan jawapan akan…akan…dan akan saja.
“Bagi saya, ini masalah serius. Justeru, saya akan panjangkan perkara ini kepada Menteri Besar Perlis (Datuk Seri Dr Md Isa Sabu), Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Datuk Chor Chee Heung) serta Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) untuk tindakan susulan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penyelesaian biro pengaduan awam, di sini, semalam.
Mengulas masalah dihadapi di lima taman terbabit, Murugiah berkata, sudah banyak aduan dibuat penduduk kepada MPK sejak 2006, namun tiada tindakan serius diambil dan ia sudah lima tahun tertunggak.
Katanya, pelbagai masalah dihadapi penduduk di kawasan berkenaan membabitkan jalan yang rosak akibat kerja pembetungan, taman permainan yang tidak memuaskan serta masalah pembetungan yang sehingga kini masih belum selesai.
“Saya amat memandang serius kes ini. Jika masalah dihadapi berkaitan bajet, saya minta majukan surat kepada kementerian dan saya percaya Perdana Menteri sendiri amat prihatin, apatah lagi jika ia membabitkan masalah rakyat,” katanya.
Mengenai mesyuarat berkenaan, Murugiah berkata, sejumlah 12 aduan yang diterima berjaya diselesaikan semalam membabitkan pelbagai masalah, selepas kedua-dua pihak iaitu pengadu dan jabatan terbabit mencapai kata sepakat.
“Saya akan jadikan kunjungan ke semua negeri sebagai rutin wajib setiap bulan, dengan kunjungan pertama bertujuan mengenal pasti masalah yang timbul, sebelum kunjungan susulan dibuat untuk menemukan pengadu dan pihak terbabit bagi mencari penyelesaian,” katanya. [Berita Harian]






0 Comments
You can be the first one to leave a comment.