SHAH ALAM 21 Sept – Polis sedang memburu empat lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes samun seorang pemandu lori yang membawa muatan bola jenama terkenal di Seksyen 25 di sini Isnin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Noor Azam Jamaluddin berkata dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa berusia 40-an, sedang dalam perjalanan dari Seksyen 16 ke Seksyen 23 di sini untuk menghantar kira-kira 104 kotak mengandungi bola jenama Adidas.

“Dalam laporannya, pemandu lori itu mendakwa dia ditahan dan tangannya diikat sebelum diarah memasuki sebuah kereta selain matanya turut ditutup dan dibawa ke satu lokasi yang tidak di ketahui,” katanya di sini Selasa.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati mangsa disamun oleh empat lelaki bersenjatakan pisau yang melarikan diri dengan sebuah kenderaan jenis Perodua Kancil.

“Kesemua suspek juga telah memunggah bola dari lori berkenaan ke lokasi yang tidak dapat dipastikan,” katanya.

Noor Azam berkata suspek melepaskan mangsa di sebuah kawasan di Seksyen 36 di sini kira-kira tiga jam kemudian.

Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. — BERNAMA

Tags: