KOTA BHARU: Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakry Petra, berkata keadaan ketika ini tidak sesuai untuknya mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan pelantikan kekandanya, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan menggantikan ayahanda mereka, Tuanku Ismail Petra mulai semalam, kerana tidak mahu menimbulkan masalah membabitkan perundangan.
Bagaimanapun, katanya, beliau akan mengadakan sidang media pada masa terdekat.
“Saya tidak mahu membuat sebarang komen mengenai pemasyhuran kekanda (Tuanku Muhammad Faris Petra), tunggu pada masa sesuai kerana saya bimbang bertelagah dengan tindakan undang-undang yang sedang dilakukan sekarang.
“Sekarang cakap saya sudah tidak laku dan setakat ini, saya tidak akan mengeluarkan komen,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sebelum ini, Tengku Muhammad Fakhry menyifatkan Istana Kelantan menyalahi undang-undang jika memasyhurkan Tengku Muhammad Faris sebagai Sultan Kelantan menggantikan Tuanku Ismail Petra.
Beliau juga menganggap usaha itu sebagai penderhakaan kerana ayahandanya masih hidup, walaupun dalam keadaan gering.






0 Comments
You can be the first one to leave a comment.