Penyerang Everton, Steven Pienaar meraikan gol pembukaan dalam aksi Liga Perdana Inggeris menentang Manchester United malam tadi.

Everton 3-3 Manchester United
West Ham 1-3 Chelsea

MANCHESTER United kini ketinggalan empat mata di belakang juara bertahan, Chelsea selepas sekadar seri 3-3 dengan tuan rumah, Everton dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Goodison Park malam tadi.

Chelsea sebaliknya terus selesa mendahului pasukan lain apabila mencatat kemenangan keempat berturut-turut, iaitu rekod kemenangan 100 peratus selepas menumpaskan West Ham 3-1 di gelanggang lawan.

Beraksi tanpa penyerang, Wayne Rooney yang sengaja direhatkan oleh jurulatih, Alex Ferguson, United seolah bakal menutup saingan dengan tiga mata selepas mendahului 3-1 ketika saingan tinggal beberapa saat untuk ditamatkan.

Darren Fletcher, Nemanja Vidic dan Dimitar Berbatov memadamkan gol pembukaan tuan rumah yang dijaringkan Steven Pienaar.

Begitupun beberapa saat sebelum tamat permainan, Tim Cahill dan Mikel Arteta menjamin satu mata berharga buat anak-anak buah David Moyes dan meninggalkan Goodison Park dengan kegirangan.

Ferguson pasti berang kerana kehilangan dua mata selepas kemenangan hampir digenggam.

Terdahulu, Everton mendahului 1-0 pada minit ke-39 apabila Pienaar yang tidak dikawal dengan tenang menolak bola masuk menewaskan Edwin van der Sar.

Namun kelebihan Everton disingkatkan apabila United menemui gol penyamaan menerusi tandukan Fletcher.

Pasukan pelawat melebarkan kedudukan 2-1 selepas hantaran lintang Nani ditanduk tepat oleh Vidic.

Kemenangan seperti sudah dijamin pada minit ke-66 apabila hantaran Paul Scholes kepada Berbatov disambut dengan rembatan rendah yang menewaskan Tim Howard buat kali ketiga.

Namun, tandukan Cahill memberikan harapan buat Everton, sebelum rembatan Arteta meledakkan gol penyamaan. kedua-dua pasukan menuju rehat.

Sementara itu di UPTON PARK, Michael Essien menjaringkan dua gol untuk membantu Chelsea menang 3-1 ke atas West Ham United sekaligus menyaksikan skuad The Blues mengumpul 12 mata daripada empat perlawanan.

Tags: