Minda DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
Mantan Mufti Perlis

Doa Untuk Bukan Muslim: Bicara Harmoni Buat S.S Mufti Perak

Saya rasa amat wajar untuk saya mengulas sendiri tentang isu doa untuk bukan muslim yang ‘dikecohkan’ sekarang. Ini memandangkan ada media telah memainkan perbezaan antara pendapat saya dan yang dihormati S.S Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak mengenai isu ini. Tujuan tulisan ini agar salahfaham dapat dielakkan.

Apabila seorang tokoh UMNO yang agak veteran menghubungi saya dan menyatakan beliau tidak puas hati (ayat asalnya ‘malu’) dengan fatwa S.S Tuan Mufti Perak yang mengharamkan doa kesejahteraan untuk bukan muslim, saya jawab saya tidak pasti sebab saya sendiri belum membaca fatwa tersebut.

SMS beliau kepada saya: “apakah saudara bersetuju dengan Mufti Perak bahawa hukumnya haram kita mendoakan kesejahteraan bukan Islam. Salahkah saya mendoakan kesejahteraan mak mertua saya yang bukan Islam? Atau mendoakan penyokong saya yang bukan Islam?”.

Setelah mendapat sms itu saya cuba mencari kenyataan S.S Tuan Mufti dalam media, saya dapati demikian yang dilaporkan oleh beberapa media.

Sebagai husn al-zan (sangka baik) saya anggap mungkin laporan media kurang kemas, atau ada maksud di sebalik pandangan hukum yang dikeluarkan oleh S.S Tan Sri Harussani Zakaria itu.

Ungkapan yang digunakan bahawa Islam mengharamkan doa kesejahteraan kepada orang bukan Islam itu mungkin mempunyai maksud lain di luar apa yang saya faham. Perkataan ‘sejahtera’ itu mungkin ada maksud tersendiri yang beliau ertikan. Cumanya, saya ingin mengulas kenyataan itu dari beberapa sudut. Pandangan saya dalam isu ini seperti berikut.

KLIK DI SINI UNTUK ARTIKEL PENUH

Doakan kesejahteraan bukan Islam haram: Mufti

KUALA LUMPUR 22 Ogos – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegaskan hukum orang Islam mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan untuk orang bukan Islam adalah haram apatah lagi apabila ia dibaca di dalam khutbah Jumaat.

Katanya, perbuatan mendoakan supaya orang kafir memeluk Islam amat digalakkan agama Islam namun menggunakan pentas khutbah Jumaat untuk berdoa seperti itu dilarang agama.

“Mendoakan supaya orang kafir mendapat kesejahteraan dan kebahagiaan adalah haram di sisi Islam. Berdoa mengharapkan orang kafir menerima dan memeluk Islam tidak salah tetapi tidak kena pada tempatnya jika dibaca dalam khutbah Jumaat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kelmarin, Moin Ismail, 70, antara ratusan jemaah yang menunaikan solat Jumaat di Masjid Menora, Tasik Gelugor, Pulau Pinang pada 25 Jun lalu mendakwa khatib mendoakan kesejahteraan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng serta rakannya dalam kerajaan negeri dalam doa khutbah kedua solat Jumaat.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengarahkan polis dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) menyiasat dakwaan berkenaan bagi mengenal pasti sama ada tindakan terbabit dibuat atas arahan pihak tertentu.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dr Mohd Puad Zarkashi pula, berkata perbuatan menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong kepada nama Guan Eng dalam doa khutbah kedua solat Jumaat bertujuan menghina Raja selaku penaung agama Islam di negara ini.

Yang Dipertua Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM), Datuk Adiwijaya Abdullah, berkata khutbah Jumaat tidak seharusnya digunakan untuk kepentingan politik kerana ia akan menimbulkan kemarahan di kalangan orang Islam.

“Saya amat terkejut membaca laporan akhbar beberapa masjid di Pulau Pinang menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong kepada nama Guan Eng dalam doa khutbah kedua solat Jumaat,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata PAS menyokong penuh satu siasatan dilakukan bagi membuktikan laporan nama Guan Eng digunakan di dalam khutbah di Pulau Pinang. -Berita Harian

Tags: