SHAH ALAM 5 Ogos – Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) hari ini mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyegerakan siasatan berhubung dakwaan salahguna kuasa Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu dalam Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED).

Desakan itu dibuat dalam satu perjumpaan antara jurucakap GAS yang juga bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V.Mugilan dengan pegawai SPRM di bangunan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) kira-kira pukul 10 pagi.

Pada perjumpaan itu, GAS turut menyerahkan maklumat setebal tiga muka surat mengenai penyelewengan dalam MIED yang dapat membantu SPRM dalam siasatan kes Samy.

Mugilan ketika ditemui pemberita berkata, dengan perjumpaan ini, pihaknya berharap agar SPRM segera menyelesaikan siasatan terhadap Samy agar kesnya dapat dihadapkan ke mahkamah.

Ini kerana kata beliau, sejak laporan dibuat kepada SPRM, pihaknya belum mendapat sebarang perkembangan positif berhubung kes tersebut.

”Jadi hari ini kita datang untuk menyerahkan maklumat yang dapat membantu SPRM.

”Kita yakin undang-undang negara ini tegas dan tidak memilih bulu. Ini terbukti dengan kes pendakwaan terhadap bekas Presiden MCA, Tun Dr. Ling Liong Sik minggu lepas,” kata beliau.

Hadir sama Ahli Jawatankuasa GAS, KP Samy dan Kumar Aaman serta hampir 30 orang ahli GAS.

Jelas beliau, apa yang diperjuangkan GAS bukan untuk kepentingan peribadi tetapi demi keadilan masyarakat India secara keseluruhan. [Utusan Malaysia]

Tags: