Zainuddin MaidinKUALA LUMPUR 31 Ogos – PAS berkata parti itu memandang serius fitnah yang didakwanya dilemparkan oleh bekas ketua penerangan Umno, Tan Sri Zainuddin Maidin berhubung Tragedi 13 Mei 1969.

Ketua penerangan PAS, Idris Ahmad berkata, Zainuddin telah memfitnah parti Islam itu apabila mengatakan semasa tragedi tersebut, PAS minta perdana menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj ‘merampas’ harta orang Cina, manakala ketika Konfrontasi Malaysia-Indonesia, PAS menyebelahi Indonesia supaya ‘mengambil’ Malaysia.

“Kenyataan yang dibuat dalam temuramah bertajuk “Zam Dedah Hasutan Jahat PAS” dalam Umno-online itu adalah satu fitnah yang besar dan cuba memberikan gambaran buruk berkenaan PAS kepada orang Cina dan rakyat keseluruhannya.

“Kenyataan beliau itu jelas sengaja dicipta bagi mencemarkan imej dan nama baik PAS sebagai sebuah parti yang mendokong kedaulatan negara dan perpaduan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Idris berkata, PAS yakin Zainuddin dan Umno kini terdesak untuk memburukkan PAS dan sanggup mencipta fitnah di bulan Ramadan ini bagi menarik sokongan bukan Melayu untuk kepentingan politik mereka.

“Tuduhan bahawa PAS menyokong Indonesia semasa konfrontasi juga sengaja direka bagi menunjukkan bahawa PAS ini tidak patriotik sedangkan begitu ramai tokoh politik dalam PAS telah berjuang memartabatkan kedaulatan negara dan menjaga kepentingan rakyat,” tegasnya.

Sehubungan PAS menuntut Zainuddin menarik balik “fitnah’ yang diciptanya” itu dan memohon maaf dalam masa tiga hari.

“Sekiranya beliau enggan menarik balik fitnah itu PAS akan mengarahkan semua organisasi PAS negeri dan dewan-dewan untuk membuat laporan polis dan seterusnya akan mengemukakan saman kepada beliau,” tegas Idris.

Pas parti ekstrem – Zam

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR

KUALA LUMPUR 29 Ogos – Pas yang kini dilihat mengambil pendekatan liberalisme dalam mencari sokongan politik sebenarnya sebuah parti ekstrem yang pernah meminta bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman merampas harta orang Cina tempatan selepas tragedi 13 Mei 1969.

Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin ketika mendedahkan perkara itu berkata, parti berkenaan juga pernah menyokong Indonesia mengambil alih pemerintahan negara dan menangkap para pemimpin tempatan semasa era konfrontasi dengan negara jiran tersebut.

Justeru, kata beliau, tindakan itu mencerminkan Pas merupakan sebuah pertubuhan politik bersifat perkauman berasaskan ekstremisme kepada Islam yang bertentangan dengan ajaran agama berkenaan.

“Ini permainan politik mereka. Mana ada mahu laksanakan hukum hudud sedangkan seorang wanita yang bogel dan terdedah di khalayak walhal berjawatan Ahli Dewan Undangan Negeri telah diterima oleh Nik Aziz sebagai satu keharusan, skandal dan sebagainya.

“Bagaimana Pas boleh sesuaikan diri dengan aspek tidak bermoral begini?” soalnya dalam wawancara eksklusif dengan UMNO-online.com yang disiarkan portal itu hari ini.

Selain menyelar Pas, Zainuddin menyifatkan kerjasama parti itu dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini penuh dengan kepura-puraan dalam mewujudkan kerjasama politik antara pakatan pembangkang.

Beliau memberitahu, UMNO telah menentang keras pendirian ekstrem Pas itu dan mendedahkan ketaksuban parti itu dalam hal keagamaan seperti kenyataan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang pernah ‘mengkafirkan’ ahli-ahli UMNO.

“Selepas pendedahan ini, kita jadikan mereka (Pas) lebih beradab dan bersopan. Mengapa sekarang mereka nak menuduh kita (UMNO) perkauman sedangkan kita sudah biasa buat penyesuaian melalui perpaduan Cina, Melayu, India dan kaum lain dengan lebih besar,” tegasnya.

Justeru, katanya, UMNO bukan baru hari ini percaya kepada konsep liberalisme tetapi bersifat liberal sejak awal penubuhan negara lagi.

Mengenai DAP pula, katanya, parti itu yang kononnya mahu mencontohi PAP di Singapura tidak mampu berbuat demikian kerana PAP mengambil tindakan terhadap mana-mana ahlinya yang didapati terlibat dalam salah laku moral.

“Menterinya (Singapura) yang terlibat akan dibuang dan jika diketahui rasuah, ada yang belum bicara lagi sudah bunuh diri. Bagaimana pula dengan DAP?” soalnya.

Baginya, PKR pula adalah sebuah parti yang hanya mahukan kuasa dengan kegilaan tersebut berkisar ke arah perjuangan seorang individu sahaja.

“PKR parti yang belum matang di peringkat bawah dengan perjuangan yang tidak berprinsip iaitu cuba menyesuaikan diri dengan DAP apabila bersama parti itu dan menukarkan watak apabila bersama dengan Pas.

“Asal saja ia memberi pulangan kepada pemimpin atasannya untuk naik ke atas,” tegasnya. – Utusan Malaysia

Tags: