BANDAR JENGKA, 5 Ogos: Empat, termasuk tiga beradik maut selepas kereta Perodua Kancil yang mereka naiki bertembung dengan kereta BMW di Kilometer 47.5 Jalan Temerloh-Bandar Jengka di sini, malam tadi.

Mereka yang terbunuh ialah tiga beradik, Fatin Atikah Muhamed Faizal, 16; Fatin Atifah, 15 dan Muhammad Faiz Danial, enam tahun serta rakan Fatin Atikah, Muhamad Azlan Abdul Talib, 21 tahun.

Ketika kemalangan kira-kira jam 7.40 malam, Fatin Atikah bersama dua adiknya dan Muhammad Azlan dikatakan dalam perjalanan menghala ke pusat bandar ini.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin, berkata apabila tiba di tempat kejadian, kereta BMW dipandu seorang wanita berusia lingkungan 40-an dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan sebelah sebelum bertembung dengan kereta mangsa.

Katanya, Fatin Atikah yang memandu kereta Kancil itu cedera parah dan meninggal dunia di Hospital Jengka, manakala adiknya, Fatin Atifah dan Muhammad Azlan mati dunia di tempat kejadian.

“Muhammad Faiz Daniel yang dipangku Fatin Atifah pula meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Jengka,” katanya ketika dihubungi di sini, malam tadi.
Beliau berkata, pemandu kereta BMW itu cedera di pinggang dan menerima rawatan di Hospital Jengka.

Katanya, polis akan mengambil keterangan pemandu wanita itu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. [Berita Harian]

Tags: