KUANTAN 26 Ogos – Seorang kanak-kanak dan warga emas maut dalam satu kemalangan yang membabitkan motosikal dan kereta di Jalan Sungai Koyan, Raub, semalam.
Nurul Ain Najwa Khairul Anuar, 7, dan Radzali Mat Asik, 68, yang bermotosikal dalam perjalanan dari Raub ke Sungai Koyan dilanggar sebuah kereta Proton Wira yang datang dari arah bertentangan.
Penguatkuasa Tadbir Negeri Pahang, Asisten Superintendan Zainal Abidin Othman, berkata dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, Nurul Ain Najwa dipercayai menemani datuknya menghantar makanan untuk berbuka puasa kepada pekerjanya di sebuah ladang kelapa sawit.
Menurutnya, sebelum kejadian, Radzali yang menunggang motosikal jenis Modenas mengekori sebuah lori di Jalan Sungai Koyan dekat Triang.
“Ketika sampai di jalan simpang, mangsa telah membelok ke kanan lalu dilanggar oleh kereta yang dinaiki tiga orang itu yang tidak sempat mengelak mangsa,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurut beliau, Radzali meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala manakala cucunya menemui ajal ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lipis.
Zainal Abidin berkata, pemandu dan dua penumpang kereta tersebut bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, pemandu Proton Wira yang berusia 24 itu kini disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama






0 Comments
You can be the first one to leave a comment.