Kemalangan ngeri di Lahad Datu

LAHAD DATU 8 Sept – Enam maut manakala enam lagi parah selepas terlibat dalam kemalangan ngeri membabitkan empat buah kenderaan di Kilometer 35 Jalan Lahad Datu-Kunak dekat sini hari ini.

Pemangku Ketua Polis daerah, Asisten P. Bong Kuet Khiun berkata, kemalangan pukul 10.25 pagi itu melibatkan bas ekspres, van, kereta Perodua Viva dan sebuah lori tujuh tan.

Katanya, mangsa yang terbunuh ialah penumpang Perodua Viva, Azlan Aziz, 17; pemandu lori, Norawi Madu, 37; dan anak lelakinya, Mohamad Azrul Norawi, 14.

Menurutnya, tiga lagi mangsa ialah pasangan suami isteri, Chin Tet Leong, 30 dan isterinya, Yong Pui San, 24, dan Thien Yuk Lin, 51, yang kesemuanya menaiki van.

“Kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mangsa yang parah dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari.

Kuet Khiun berkata, siasatan mendapati Perodua Viva, van dan lori tersebut sedang dalam perjalanan dari Lahad Datu menghala ke Kunak.

Menurutnya, van itu cuba memotong Perodua Viva di hadapannya tetapi bertembung dengan bas ekspres dari arah bertentangan.

“Bas ekspres itu kemudian hilang kawalan dan melintang di tengah jalan, lalu dirempuh van dan Perodua Viva sebelum tergelincir ke dalam gaung,” ujar beliau.

Katanya, pelanggaran itu turut menyebabkan sebuah lori yang berada di belakang Perodua Viva dan van tersebut terbabas masuk ke dalam gaung sama.

Tambah Kuet Khiun, pihaknya bagaimanapun masih lagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kemalangan tersebut.

Katanya, pasukan bomba dan penyelamat juga bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa-mangsa yang tersepit.

Beliau berkata, semua mayat mangsa telah pun dihantar ke Hospital Lahad Datu sebelum dituntut oleh ahli keluarga masing-masing.

Pada masa sama, beliau juga menasihatkan orang ramai terutama pengguna jalan raya agar berhati-hati sewaktu berada di jalan raya terutama bagi mereka yang akan pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Aidilfitri ini.

Panik lihat kepala adik

LAHAD DATU 9 Sept – “Saya terkejut dan panik apabila melihat kepala adik saya di sebelah tubuhnya. Saya segera keluar dari kenderaan untuk memberi pertolongan kepada abang dan kakak saya yang tersepit,” kata Imran Aziz, 22, abang kepada seorang daripada mangsa kemalangan maut, Azlan Aziz, 17, semalam.

Tragedi berdarah itu yang mengorbankan enam nyawa serta mencederakan enam penumpang lain berlaku kira-kira pada jam 10.25 pagi membabitkan empat kenderaan di Kilometer 35, Jalan Lahad Datu-Kunak.

Selain Azlan, mereka yang terbunuh adalah pemandu lori, Norawi Madu, 37, dan anak lelakinya, Mohamad Azrul, 14, serta tiga lagi mangsa yang menaiki van dikenali sebagai Yong Pui San, 24, dan suaminya Chin Tet Leong, 30, serta Thien Yuk Lin, 51.

Difahamkan, semua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan sehingga jam 6 petang semalam identiti enam mangsa yang cedera parah dipercayai penumpang bas masih belum dikenal pasti.

Menurut Imran, ketika kejadian, dia yang menaiki Perodua Viva sedang tidur di tempat duduk penumpang depan sebelum dikejutkan dengan keadaan cemas apabila keretanya berpusing sebelum terjunam ke dalam gaung.

“Apabila saya menoleh ke tempat duduk belakang, saya terkejut melihat kepala adik saya berada di sebelahnya, lalu saya keluar dari kenderaan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. –Metro

Tags: