SEGAMAT 5 Ogos β Dua guru wanita termasuk seorang daripada mereka yang sedang hamil lapan bulan maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah kenderaan dari arah bertentangan di Kilometer 202.6, Jalan Segamat-Gemas berhampiran Batu Anam di sini hari ini.
Kedua-dua mangsa terbabit, Cheng Lee Sei, 31, yang sedang hamil dan Lee Pei Ling, 34, meninggal dunia di tempat kejadian.

ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat dua guru wanita yang tersepit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di KM202.6 Jalan Segamat-Gemas dekat Batu Anam. - Foto Berita Harian.
Kemalangan ngeri itu berlaku kira-kira pukul 7 pagi ketika kereta Perodua Viva yang dipandu oleh Lee Sei dikatakan bertembung dengan sebuah kereta jenis Kia Spectra yang dalam perjalanan dari Gemas, Negeri Sembilan ke Batu Anam.
Seorang lagi guru wanita yang menaiki kereta Viva tersebut, Sia Yoke Peng, 30-an, cedera parah manakala pemandu kereta Kia tersebut, Em Kai Doon, 25, turut mengalami kecederaan patah kaki.
Ketiga-tiga guru wanita itu mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Gemas Baru, Negeri Sembilan dan ketika kejadian, mereka dalam perjalanan ke sekolah tersebut.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdul Majid Mohd. Ali berkata, siasatan awal mendapati, pemandu kereta Kia tersebut dipercayai terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh kereta mangsa.
βKes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan memandu secara melulu sehingga mengakibatkan kematian. Polis akan menyoal siasat pemandu kereta Kia Spectra berkenaan sebaik sahaja lelaki itu pulih dari kecederaannya,β katanya.
Katanya, ketika ini, Kai Doon dirawat di Hospital Melaka manakala Yoke Peng dibawa ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.
Difahamkan, ketiga-tiga guru terbabit itu berkongsi kereta untuk ke sekolah. Yoke Peng duduk di sebelah pemandu manakala Pei Ling di tempat duduk belakang.







0 Comments
You can be the first one to leave a comment.