KOTA BHARU 23 Ogos – Seorang guru Sekolah Menengah Agama (SMA) Shamsul Maarif dekat Pulai Chondong, Machang, maut selepas kereta dipandunya terbabas merempuh tiang lampu dekat Ketereh di sini, pagi semalam.

Dalam kemalangan jam 11.30 pagi di Kampung Tok Akil, Ketereh itu, Wan Shafie Wan Hasan (kanan), 50, mati di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan dalaman sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk bedah siasat.

Anak mangsa, Wan Norshazwani, 22, berkata kejadian berlaku ketika bapanya memandu kereta Proton Iswara sendirian dalam perjalanan dari sekolah di Machang ke Ketereh.

Katanya, kejadian menimpa bapanya itu diketahui keluarga yang tinggal di Kampung Dendang dekat Ketereh, apabila dihubungi penduduk kampung yang melihat kemalangan itu.

Sejurus mendapat maklumat kemalangan itu, saya dan ahli keluarga bergegas ke lokasi, tetapi mendapati beliau sudah meninggal dunia, katanya yang juga pelajar bioperubatan di USM itu.

Tags: