KUANTAN, 29 Okt – Seorang ibu maut manakala anak dan rakannya cedera dirempuh kereta ketika mereka cuba melintas jalan di Jalan Kuantan-Pekan dekat Tanjung Lumpur di sini pagi Jumaat.
Sebuah kereta jenis Proton Satria yang dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Kempadang di sini dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas melanggar pembahagi jalan dan merempuh ketiga-tiga mangsa yang sedang berdiri di atas pembahagi jalan tersebut.
Rosiah Wahab, 27, meninggal di tempat kejadian dalam kemalangan 10.40 pagi itu, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supt Zulkifli Taha.
Beliau berkata mangsa terseret hingga ke tepi jalan manakala bayinya yang berusia 14 bulan yang didukungnya tercampak ke tengah jalan dan cedera ringan manakala rakan mangsa yang berusia sekitar 20-an cedera pada lutut.
Pemandu kereta itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — BERNAMA






0 Comments
You can be the first one to leave a comment.