ALOR SETAR 23 Ogos- Seorang murid Tahun Dua cedera parah di tapak tangan kanan dengan dua jarinya hampir putus apabila mercun bola yang dikutipnya selepas dicampak seorang rakan tiba-tiba meletup di Kampung Kubang Besar, Pokok Sena, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, murid Sekolah Kebangsaan Nawa, Pokok Sena, Muhammad Firdaus Yusuf, 8, dikatakan mengutip mercun yang dicampak oleh seorang rakannya selepas mendapati bahan itu tidak meletup.

Muhammad Firdaus yang ditemui di wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, berkata sebaik dia memegang mercun itu, tiba-tiba ia meletup menyebabkan tangan kanannya parah dengan jari hantu dan jari manisnya hampir putus.

Katanya, sebelum kejadian itu dia bersama beberapa rakan sebaya bermain mercun berhampiran rumahnya sebelum satu daripada mercun yang dilempar oleh rakannya itu didapati tidak meletup.

Saya mengutip mercun berkenaan untuk memastikan keadaannya, namun sebaik saja saya memegangnya ia tiba-tiba meletup, menyebabkan tangan saya berlumuran darah dan terasa amat sakit.

Saya panik melihat baju mula dibasahi darah dan berlari pulang ke rumah sambil menggenggam tangan yang cedera itu, katanya ketika ditemui Berita Harian di HSB, semalam.

Kanak-kanak terbabit kemudian dibawa ke HSB oleh bapa saudaranya yang kebetulan berada berdekatan rumahnya.
Difahamkan, ketika kejadian hanya ibu mangsa berada di rumah, manakala bapanya keluar.

Mangsa kini ditempatkan di wad HSB dan dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi berkata, tiada sebarang laporan dibuat berhubung kejadian berkenaan

Tags: