Polis kenal pasti individu terbabit stor mercun meletup

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu sudah mengenal pasti individu terbabit dalam kes letupan yang dipercayai berpunca daripada mercun di sebuah rumah tinggal di Kampung Seberang Baroh, Chabang Tiga di sini, semalam hingga menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun terbunuh dan dua lelaki cedera parah.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata setakat ini polis belum membuat sebarang tangkapan tetapi tindakan susulan akan dibuat selepas siasatan dikemaskini tidak lama lagi.

Bagaimanapun, katanya, polis belum dapat memastikan apakah letupan itu adalah sejenis mercun atau bahan letupan lain termasuk bom tetapi yang pastinya impak letupan itu amat kuat sehingga boleh didengar sejauh empat kilometer dari tempat kejadian.

Setakat ini polis belum membuat sebarang tangkapan, tetapi kita sudah kenal pasti orang yang disyaki terbabit.

Kita minta bantuan Unit Forensik dan Unit Bom dari Kuala Lumpur untuk membantu menyiasat dalam kes ini, katanya selepas mengiringi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said melawat tempat kejadian di sini, petang semalam.

Mohd Shukri meminta orang ramai supaya tidak bermain dengan mercun menjelang musim perayaan ini untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Ditanya adakah rumah tempat kejadian letupan itu dijadikan stor simpanan mercun, beliau tidak dapat mengesahkannya tetapi menjelaskan kejadian itu dipercayai membabitkan bahan letupan dalam kuantiti banyak menyebabkan impak begitu hebat kepada rumah sekeliling hingga membabitkan kematian.

Sementara itu, Ahmad melahirkan rasa sedih dan pilu dengan kejadian itu menyerahkan kepada pihak polis supaya membuat siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak terbabit.

Beliau juga menyifatkan mereka yang menjual bunga api dan mercun untuk mencari rezeki di bulan Ramadan adalah pedagang maut kerana akan ada orang lain yang menjadi mangsa.

Budak terpelanting 15 meter atas pokok selepas rumah jadi stor mercun meletup

KUALA TERENGGANU 23 Ogos – Seorang kanak-kanak berusia enam tahun maut dengan mayatnya tersangkut di atas pokok setinggi 15 meter selepas terpelanting apabila sebuah rumah tinggal yang dipercayai dijadikan stor simpanan bunga api dan mercun meletup di Kampung Seberang Baroh, Chabang Tiga di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, dua lelaki berusia 22 dan 23 tahun pula cedera parah dipercayai tercampak ke tanah di bahagian depan rumah berkenaan yang roboh akibat letupan kuat yang dikatakan boleh didengar sehingga sejauh empat kilometer.

Seorang saksi, Norshafri Azhar, 36, berkata kanak-kanak itu, Khairul Arif Ayub, ditemui tersangkut di atas pokok, kira-kira lima meter dari belakang rumah berkenaan dengan kepalanya hancur.

“Ketika sampai di tempat kejadian, saya tergamam melihat dua lelaki dalam keadaan berlumuran darah di bawah timbunan kayu dan batu. Seorang daripada mereka yang masih mampu bercakap dalam nada lemah menyuruh saya mencari seorang kanak-kanak lelaki, tetapi saya gagal menemuinya setelah kira-kira 10 minit mencari di bawah timbunan batu dan kayu.

“Ketika itu penduduk kampung sudah memenuhi kawasan kejadian dan saya terkedu melihat tubuh kanak-kanak lelaki tersangkut di atas pokok di belakang rumah ini dengan kepalanya hancur dan otak terburai sebelum mayatnya diturunkan penduduk kampung,” katanya yang menjadi saksi pertama tiba di tempat kejadian.

Norshafri yang bekerja sebagai penjaja dan tinggal kira-kira 20 meter dari tempat kejadian itu, berkata ketika letupan berlaku dia sedang berehat di rumah sambil menonton berita di televisyen.

Saya terus bergegas ke tempat kejadian sebaik mendengar bunyi letupan kuat. Saya lihat, dua lelaki cedera parah di kaki dan muka, malah bahagian kaki kelihatan seperti hancur dan berlumuran darah.

Seorang daripada mereka masih mampu bercakap, manakala seorang lagi seperti sudah tidak sedar. Seorang daripada mangsa adalah anak pemilik rumah tinggal ini, yang kini menetap di Bukit Payung dan hanya pulang sekali sekali ke rumah ini bersama ibunya,” katanya.

Norshafri berkata, dua lelaki terbabit adalah rakan bapa kanak-kanak itu, Ayub Abd Rahman, 28, dan Khairul Arif juga rapat dengan mereka serta sering dilihat mengikut lelaki berkenaan.

Selain memusnahkan bahagian depan rumah berkenaan termasuk tangga batu dan sebuah motosikal, letupan itu turut merosakkan rumah jiran yang terletak kira-kira 20 meter dari tempat kejadian. Antaranya, cermin tingkap bahagian dapur dan bilik belakang pecah, lantai jubin retak dan atap bahagian dapur pecah. Bagaimanapun, ketika kejadian rumah itu tiada penghuni.

Hasnah A Jalil, 54, yang rumahnya turut rosak akibat letupan kuat itu berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana menghantar anak saudaranya ke sekolah berhampiran dan bergegas pulang ke rumah selepas terdengar bunyi letupan kuat serta dimaklumkan adiknya yang ternampak kepulan asap daripada arah belakang rumahnya.

“Rumah yang meletup ini sudah lama tinggal. Selepas bapanya meninggal dunia, baru-baru ini, ibunya berpindah ke tempat lain, tetapi anak lelakinya (yang juga salah seorang mangsa) sering balik ke sini. Dia memang berkawan dengan bapa Khairul Arif dan kanak-kanak itu kelihatan sangat rapat dengannya. Ketika kejadian, bapa Khairul Arif tiada di situ,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Wan Mayuni Wan Daud, 34, berkata dia yang ketika itu sedang berniaga di Pasar Chabang Tiga pada mulanya menyangka berlaku tsunami selepas terdengar bunyi letupan kuat dan gegaran dahsyat seperti bangunan dibom. – Berita Harian

Tags: