Proton Persona rentung selepas terbakar dalam kemalangan dengan sebuah lori di Lebuhraya Utara Selatan hari ini.KUALA LUMPUR 15 Sept – Empat termasuk suami isteri dan anak lelaki mereka, rentung apabila kereta jenis Proton Persona yang dinaiki terbakar selepas terbabas dan melanggar bahagian belakang lori di Kilometer 394, Lebuhraya Utara Selatan dekat sini hari ini.

Dalam kejadian jam 8.05 pagi itu, kesemua mangsa dikatakan mahu pulang ke rumah di Kota Damansara selepas menghabiskan cuti sempena Aidilfitri di Alor Setar, Kedah.

Mangsa yang meninggal dunia ialah Azri Ismail, 27, yang juga pemandu kereta, isterinya Suzita Abu Bakar, 25, yang duduk di sebelah pemandu bersama anak mereka, Mohd Amar Haikal, berumur 25 bulan dan seorang lagi yang dipercayai rakan mereka, Mohd Hasnizam Abdul Mutalib, 20, di tempat duduk penumpang belakang.

Jurucakap Trafik Selangor berkata, kereta itu dipercayai dipandu laju dan tidak menolak kemungkinan pemandu memandu dalam keadaan mengantuk berikutan perjalanan yang jauh dari utara.

Difahamkan, mereka bertolak dari Alor Setar selepas Subuh dan ketika sampai di tempat kejadian, kereta yang dipandu itu hilang kawalan dan kemudiannya merempuh bahagian belakang sebelah kiri lori membawa muatan pasir yang sedang berhenti di lorong kecemasan kerana mengalami kerosakan di rim tayar.

Jurucakap itu berkata, rempuhan kuat itu menyebabkan kereta terbakar dan kesemua mangsa gagal menyelamatkan diri.

Sementara itu, pemandu lori tersebut, T Ramathas, 37, berkata kejadian itu berlaku terlalu pantas sebaik selepas beliau memberhentikan kenderaannya.

Katanya, beliau dalam perjalanan dari Sungkai ke Sungai Buloh untuk menghantar pasir dan terpaksa berhenti di lorong kecemasan kerana menghadapi masalah rim tayar.

“Sampai di sana, saya terus letak kon dan penanda segi tiga kecemasan serta menghubungi pihak PLUS untuk mendapatkan bantuan.

“Tidak sampai tiga minit, saya nampak sebuah kereta meluru dan melanggar belakang lori dan kereta tersebut terus terbakar,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, beliau melihat dalam kereta itu terdapat empat orang iaitu pemandu lelaki, seorang wanita dan kanak-kanak lelaki di tempat duduk hadapan dan seorang lagi lelaki di tempat duduk belakang.

Ramathas berkata, beliau cuba memanggil kesemua mangsa sebaik berlaku kemalangan tetapi tidak mendapat tindak balas.

Kesemua mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Baharu untuk bedah siasat. — BERNAMA

‘Mangsa berpatah balik tertinggal ketupat palas’

KUBANG PASU 15 Sept – Gerak hati seorang abang bahawa sesuatu yang tidak baik akan menimpa adiknya ternyata benar apabila saudara perempuannya itu maut dalam kemalangan di Kilometer 394, Lebuh Raya Utara Selatan berdekatan Behrang, Perak, pagi ini.

Suhaimi Abu Bakar, 27, berkata, adiknya, Suzita, 25, bersama suaminya, Azri Ismail, 27, anak lelaki mereka, Mohd. Amar Haikal, 2, serta Mohd. Haznizam Abdul Mutalib, 20, sepatutnya sampai di Kuala Lumpur semalam, namun mereka berpatah balik setelah sampai di Kulim.

“Dia (Suzita) bertolak dari kampung tengah hari semalam namun berpatah balik kerana tertinggal ketupat palas dan mereka meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur kira-kira pukul 10 malam tadi.

“Saya memang rasa tak sedap hati kerana orang tua-tua cakap tidak elok berpatah balik dalam perjalanan namun saya diamkan sahaja sehinggalah saya mendapat berita mereka maut dalam kemalangan tengah hari tadi,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Matang Bongor, Ayer Hitam di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 pagi ini, kesemua mangsa rentung selepas kereta dinaiki mereka merempuh belakang treler yang berhenti di lorong kecemasan lebuh raya kerana mengalami masalah tayar.

Menurut Suhaimi, adiknya juga seolah-olah berat hati untuk meninggalkan kampung setelah seminggu pulang berhari raya bersama keluarga.

“Suzita merupakan seorang yang peramah dan amat rapat dengan ibu kami, Natrah Omar.

“Sehingga kini ibu masih belum mengetahui kejadian ini dan kami risau untuk memberitahunya kerana dia kurang sihat,” katanya.

Tambahnya, Suzita serta suaminya baru membuka spa di Kuala Lumpur dan Mohd. Haznizam yang merupakan kenalan suaminya mengikut mereka untuk bekerja di kedainya.

Jelasnya, sebelum ini adiknya bekerja dalam bidang yang sama sebelum membuka spa sendiri.

Jenazah kesemua mereka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Matang Bongor malam ini. — Utusan Malaysia

Tags: