KUALA LUMPUR: ESQ Leadership Center Sdn Bhd dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) diminta mengemukakan hujahan bertulis sama ada Mahkamah Sivil mempunyai kuasa untuk mendengar permohonan semakan kehakiman oleh syarikat itu berhubung pengharaman modul program motivasinya.

Peguam Abu Bakar Jais yang mewakili ESQ ketika ditemui pemberita berkata, Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh menetapkan pada 10 Ogos depan untuk mendengar hujah bagi memutuskan sama ada ESQ boleh mengemukakan semakan kehakiman berhubung fatwa dikeluarkan MAIWP.

ESQ memohon kebenaran untuk memulakan prosiding bagi mendapatkan perintah perisytiharan fatwa diwartakan pada 17 Jun lalu dan penerbitannya dalam Warta Kerajaan dikeluarkan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh, terbatal dan tidak sah.

ESQ menjalankan latihan pembinaan insan di Malaysia sejak 2006 dan program motivasi anjurannya sudah disertai lebih 65,000 orang termasuk orang kenamaan, tokoh agama dan korporat serta pegawai kerajaan.

Selain Abu Bakar, ESQ turut diwakili peguam Helmi Hamzah. [Berita Harian]

Tags: