PUTRAJAYA, 13 Ogos – Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) menjelaskan kes pemandu bas sekolah merogol kanak-kanak seperti yang dilaporkan media membabitkan operator haram dan bukan mereka yang dilesenkan oleh pihaknya.

Pengerusi LPKP, Datuk Halimah Mohamed Sadique, berkata ia adalah berdasarkan laporan dan statistik daripada polis yang diterima pihaknya.

Statistik polis yang kita peroleh mendapati kes salah laku dan cabul yang dilaporkan sebelum ini tidak membabitkan pemandu bas yang menjalankan perkhidmatan secara sah.

Kita nasihatkan ibu bapa supaya menggunakan perkhidmatan bas sekolah yang berdaftar kerana pengusaha bas berkenaan sentiasa dipantau sekali gus menjamin keselamatan anak mereka, katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau berkata, LPKP akan mengambil tindakan tegas terhadap operator bas sekolah berlesen jika berlaku sesuatu tidak diingini terhadap murid sekolah yang menjadi penumpang mereka.

Bercakap pada sidang media di sini semalam, Halimah berkata satu perbincangan khas akan diadakan antara LPKP dengan Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Kebangsaan; wakil Kementerian Pelajaran; Persatuan Bas Sekolah dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada Rabu depan untuk membincangkan isu keselamatan perkhidmatan bas sekolah.

Dalam kejadian Julai lalu, seorang murid perempuan berusia 10 tahun dirogol oleh pemandu van sekolah berdekatan sebuah tadika di Jalan Othman, Petaling Jaya.
Malah, pemandu berkenaan juga dipercayai terbabit dengan dua lagi kes rogol di daerah itu sebelum itu.

Dalam perkembangan lain, Halimah berkata pihaknya masih membuka permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) dan Lesen Jangka Pendek (LJP) kepada pengusaha bas ekspres yang mahu menambah perkhidmatan bas menjelang Aidilfitri ini.

Setakat ini, kita sudah menerima sebanyak 16 permohonan daripada pengusaha bas ekspres kerana kita baru saja membuka permohonan itu pada 9 Ogos lalu.

Kita beri tempoh yang lama kepada pengusaha untuk memberi ruang yang cukup bagi menambah bas. Operasi perkhidmatan bas tambahan itu bermula pada 3 September ini sehingga 19 September nanti, katanya.

Pertambahan perkhidmatan bas itu adalah berdasarkan laluan terbuka dan permintaan penumpang yang ingin menggunakan perkhid-matan bas untuk pulang ke kampung menyambut Aidilfitri. [Berita Harian]

Tags: