SUBANG JAYA: Misteri kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, sejak seminggu lalu semakin terungkai berikutan penemuan dua kereta mewah, masing-masing miliknya dan milik peguam sivilnya di sini, malam tadi.
Kereta jenis BMW X5 warna hitam bernombor pendaftaran WTL 11 milik Sosilawati ditemui seorang penduduk di Apartmen Angsana, Taman Subang Mewah di sini, kira-kira jam 8.30 malam sebaik butiran kenderaan terbabit disiar Buletin Utama TV3.
Ia ditemui diletakkan di tempat letak kereta apartmen berkenaan dengan pintu tidak berkunci tetapi bahagian dalamnya tidak berusik.
Kereta jenis BMW 525i warna biru bernombor pendaftaran AAJ 5 milik peguam sivil Sosilawati, Ahmad Kamil Abd Karim pula ditemui diletak di hadapan Hotel Dorsett di SS12, Subang Jaya kira-kira jam 9 malam hasil maklumat awam.
Difahamkan, kereta Ahmad Kamil ditemui dalam keadaan baik tetapi terdapat kesan lumpur.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mamah ketika dihubungi mengesahkan penemuan kedua-dua kereta berkenaan.
Sementara itu, pengusaha warung, Norizal Othman, 31, yang menemui kereta mewah milik Sosilawati, berkata beliau mengesyaki sesuatu selepas kenderaan mewah berkenaan diletakkan di situ sejak seminggu lalu.
Di kawasan ini memang banyak kereta mewah disimpan. Jadi, kehadirannya menarik perhatian ramai, lebih-lebih lagi agak lama ia diletakkan di situ tanpa diambil sesiapa.
Bila TV3 menyiarkan nombor pendaftarannya dalam Buletin Utama malam tadi, saya terus teringatkan kereta itu lalu memberitahu Jawatankuasa Penduduk Apartmen Angsana yang kemudian menghubungi polis, katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.
Bagaimanapun, Norizal tidak dapat mengenalpasti mana-mana individu meletak kereta itu di tempat letak kereta berkenaan.
Kereta itu memang ditemui dalam keadaan sudah diletakkan di situ. Siapa yang memandunya memang saya tidak perasan tapi memang sudah lama ia di sini,” katanya.
Seorang lagi saksi, Roslan Abd Rahman, 46, berkata beliau nampak seorang lelaki Melayu dalam lingkungan 30-an meletakkan kereta itu di situ.
Keadaannya mencurigakan… tengok keadaan sekeliling kalau gerak-gerinya diperhatikan. Saya tidak tahu kereta itu milik Datuk Sosilawati sehinggalah keluar dalam berita, katanya.
- Sosilawati sempat SMS suami
- Gagal dihubungi selepas ke Banting untuk urusan beli tanah
KUALA LUMPUR: Pengasas Nouvelle Visages, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dikatakan sempat menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ke telefon bimbit suaminya beberapa jam sebelum dilaporkan hilang ketika ke Banting, Selangor untuk menguruskan pembelian tanahnya pada 30 Ogos lalu.
Tanpa mendedahkan butiran SMS itu, sumber memberitahu Berita Harian, ia adalah komunikasi terakhir antara jutawan kosmetik berkenaan dengan suaminya yang juga seorang ahli perniagaan berasal dari Indonesia.
Sosilawati dan suaminya jarang bertemu, sebaliknya lebih banyak berhubung melalui telefon dan SMS kerana masing-masing sibuk menguruskan perniagaan. Tidak pasti apa kandungan SMS itu, namun Sosilawati dipercayai memaklumkan suaminya bahawa beliau mahu ke Banting selama tiga hari meninjau projek terbarunya.
Itulah komunikasi terakhir Sosilawati dengan suaminya sebelum dilaporkan hilang. Difahamkan, suaminya cuba menghubungi telefon bimbitnya tetapi dimatikan. Kehilangan Sosilawati juga hanya diketahui suaminya selepas dihubungi oleh anak-anak mangsa, katanya.
Semalam, Berita Harian melaporkan kehilangan Sosilawati yang juga bekas isteri penyanyi Nash sejak seminggu lalu bersama tiga lagi individu ketika terbabit dalam pembelian tanah di sebuah lokasi di Banting, dipercayai mahu dibangunkan sebagai ladang herbanya.
Turut hilang peguamnya, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dari Tetuan Kamaruddin & Partners; pegawai kredit CIMB Bank, Noorhisham Mohammad, 38, dan pemandu peribadinya, Kamaru-
din Shansuddin, 44, yang baru bekerja dengan jutawan itu.Difahamkan, mereka ke Banting menaiki dua kereta mewah berlainan, masing-masing jenis BMW X5 warna hitam bernombor pendaftaran WTL 11 milik Sosilawati dan BMW 525i bernombor pendaftaran AAJ 5 dipercayai Ahmad Kamil.
Selain Sosilawati, ahli keluarga Ahmad Kamil, Noorhisham dan Kamaruddin turut membuat laporan polis semalam berhubung kehilangan mereka.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pada sidang media di Bukit Aman, berkata pihaknya akan meneliti semua panggilan terakhir dan SMS yang dibuat oleh keempat-empat mangsa bagi mendapatkan petunjuk misteri kehilangan mereka.
Tumpuan siasatan kini lebih kepada semakan rekod panggilan dan SMS terakhir dibuat Sosilawati dan tiga individu yang menemaninya itu. Polis juga akan mengambil keterangan ahli keluarga mereka bagi memperoleh maklumat terperinci berhubung individu terakhir yang bercakap, bertemu atau berbual dengan mereka, katanya.
Ditanya sama ada keempat-empat individu itu diculik penjenayah, beliau menegaskan masih terlalu awal untuk membuat sebarang andaian kerana siasatan sedang dijalankan dan belum ada sebarang bukti sahih yang boleh dikaitkan dengan motif itu. –Berita Harian






0 Comments
You can be the first one to leave a comment.