Janji labur RM3,000 dapat pulangan RM100 ribu dalam tempoh sebulan
KUALA LUMPUR 28 Okt – Seorang lelaki berusia 30-an ditahan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) cawangan Putrajaya bagi membantu siasatan ke atas sebuah syarikat skim cepat kaya di Taman Equine Park di Seri Kembangan dekat sini, awal pagi tadi. [VIDEO]
Pengarah Kanannya, Shahrudin Hamzah, berkata dalam serbuan ke atas premis itu pada jam 10.30 malam tadi, 30 ahli syarikat turut diperiksa dan diambil keterangan, sebelum mereka dibebaskan.
“Serbuan tersebut dibuat atas hasil maklumat dan aduan dari orang ramai. Lelaki yang ditahan itu dipercayai orang kuat skim tersebut. Kita turut menyita beberapa komputer mudah alih dan puluhan kepingan risalah mengenai skim ini yang dipercayai untuk diedarkan kepada orang ramai,” katanya di lokasi kejadian awal pagi tadi selepas menamatkan operasi tersebut.
Beliau berkata, skim itu dipercayai aktif sejak setahun lalu dengan menjanjikan pulangan hampir mencecah RM100,000 dalam tempoh sebulan kepada pelabur yang membuat pelaburan minimum RM3,000 seorang.
Sebelum mengajak ahli melabur, syarikat itu menarik orang ramai dengan menjual pelbagai produk, termasuk produk kosmetik dan kesihatan, dan selepas itu memujuk mereka melabur dalam skim cepat kayanya, kata Shahrudin.
Shahrudin berkata, ahli skim itu turut ke negeri lain termasuk Melaka dan Negeri Sembilan bagi menarik lebih ramai penyertaan.
Katanya, siasatan awal mendapati skim yang berasaskan sistem piramid itu beroperasi menggunakan lesen sebuah syarikat lain.
“Kita akan siasat perkara ini dan jika itu berlaku, kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap syarikat berlesen itu,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan perniagaan yang menawarkan pulangan pelaburan tinggi dalam tempoh masa yang singkat.
Katanya, individu yang menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Akta Jualan Langsung 1993. — BERNAMA
Skim cepat kaya tawar pulangan RM100,000 sebulan diserbu
KUALA LUMPUR 28 Okt – Hanya selepas tiga bulan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menumpaskan satu skim cepat kaya di Lembah Klang pada 28 Julai lalu, satu skim sama ditumpaskan di sini malam tadi.
Kejayaan itu hasil serbuan Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di Taman Equine Park di Seri Kembangan dekat sini.
Ketika serbuan pukul 10.30 malam itu, kira-kira 30 orang sedang asyik mendengar seminar dan pratonton yang dianjurkan dua lelaki berusia 30-an termasuk seorang daripadanya dipanggil mentor.
Penolong Pengarah Kanan Penguat Kuasanya, Shahrudin Hamzah berkata, hasil maklumat awam, pihaknya membuat serbuan ke atas premis itu yang dipercayai menganjurkan skim cepat kaya.
“Seminar dihadiri kira-kira 30 orang termasuk 20 daripadanya ahli skim terbabit. Semua mereka diperiksa dan diambil keterangan sebelum dibebaskan pukul 5 pagi ini.
“Kita turut menyita beberapa komputer riba, berpuluh-puluh kepingan cakera padat video (VCD) dan risalah mengenai skim itu untuk edaran orang ramai.
“Kita masih di peringkat awal siasatan dan sedang mengesan dalang skim itu serta bilangan yang menjadi mangsa,” katanya kepada pemberita selepas serbuan, di sini malam tadi.
Sebelum ini, polis menumpaskan satu skim cepat kaya di Lembah Klang yang memperdaya orang ramai agar melabur dalam skim terbabit dengan jumlah minimum RM10,000 sehingga RM41,000.
Menurut Shahrudin, siasatan mendapati penganjur yang menggunakan lesen sebuah syarikat jualan langsung itu, menjual barangan produk kosmetik dan kesihatan di peringkat permulaan.
Katanya, bagaimanapun, mereka mula mengambil pendekatan mencari ahli bagi memperolehi hasil keuntungan segera.
“Modus operandi daripada hasil risikan, kita percaya kumpulan itu mengajak orang ramai untuk menyertai perniagaan dengan mencari orang yang menjurus kepada skim piramid.
“Mereka kemudian dipengaruhi supaya melabur mengikut empat pakej yang ditawarkan iaitu serendah RM3,000 yang menjanjikan pulangan sehingga RM100,000 sebulan,” katanya.
Menurutnya, penganjur turut merangka strategi menarik lebih ramai penyertaan melalui taklimat kejayaan ahli yang memperolehi kemewahan segera hasil skim tersebut selain turut memiliki sebuah laman web rasmi.
Katanya, antara dipaparkan ialah kejayaan ahli skim terbabit terdiri daripada kakitangan awam, guru dan pelajar institusi pengajian tinggi yang memiliki kereta mewah, Mercedes-Benz dan BMW.
“Mereka juga mengadakan beberapa siri seminar ke negeri lain seperti di Melaka dan Negeri Sembilan bagi menarik lebih ramai penyertaan,” katanya.
Beliau berkata, selain itu, setiap ahli diberi bimbingan menguasai teknik menjawab segala persoalan atau keraguan yang timbul bagi mempengaruhi orang awam supaya menyertai skim tersebut.
“Siasatan akan dilakukan ke atas syarikat tersebut dan sekiranya didapati melanggar peraturan Akta Jualan Langsung, kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap syarikat berlesen itu.
“Kami juga akan mempergiatkan usaha bagi menggempur sebarang aktiviti perniagaan berasaskan skim cepat kaya,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan perniagaan yang menawarkan pulangan pelaburan tinggi dalam tempoh masa singkat.
Katanya, individu yang melanggar peraturan perniagaan jualan langsung boleh didenda hingga RM250,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Akta Jualan Langsung 1993.
“Orang awam yang mendengar sebarang taklimat berkaitan skim piramid dikehendaki melaporkan kepada bahagian penguat kuasa berhampiran atau melayari laman web kementerian itu,” katanya. — Utusan Malaysia






3 Comments
[...] Kesemua mereka dibebaskan selepas keterangan direkodkan. [Berita Penuh] [...]
ahli2 i-rich ni bukannya nak insaf.. biarkan depa macam luncai ddn labu2nya.. biarkan.. biarkan.. biarkan.. akhirnya diorang lemas baru sedaq dighi tu
rasa kerajaan perlu juga mekanisme bru mengenakan tindakan undang2 keatas ahli2 skim ini.sebab merekalah