KUALA LUMPUR 26 Ogos – Prihatin dengan beban pesalah jalan raya, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman telah mengemukakan kadar kompaun baru untuk 13 jenis kesalahan trafik yang disifatkan munasabah kepada Kementerian Pengangkutan untuk diteliti.
Sekiranya dipersetujui kementerian berkenaan, kadar yang lebih rendah sehingga 70 peratus pengurangan berbanding kadar kompaun dikuat kuasa sebelum ini akan dilaksanakan mulai 1 Januari depan.
Sebagai contoh kadar kompaun baru kesalahan memandu melebihi had laju bagi kereta adalah RM70 berbanding RM150 kadar kompaun asal manakala motosikal RM50 (RM150) dan lori/bas RM90 (RM150).
Bagi kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar untuk kereta adalah RM50 berbanding RM70 sementara van RM50 (RM80) dan teksi RM50 (RM150).
Menurut Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof, cadangan yang dikemukakan itu di peringkat perbincangan akhir antara kedua-dua pihak.
Katanya, kadar kompaun baru itu turut akan diselaraskan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum ia boleh dikuatkuasakan.
“Kita percaya kadar kompaun baru itu tidak membebankan rakyat dan munasabah untuk dilaksanakan.
“Jika pihak kementerian setuju, ia akan diperkenalkan pada 1 Januari depan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada 11 Ogos lalu, Kabinet bersetuju menarik balik langkah menyenaraihitamkan kenderaan buat sementara sehingga 28 Februari tahun depan.
Ini bermakna, mereka yang dikenakan notis saman boleh membayar secara penuh atau ansuran dalam tempoh kelonggaran tersebut.
Kerajaan sebelum ini membuat keputusan akan mengumumkan kedudukan muktamad isu saman ekor termasuk menetapkan kadar bayaran yang sesuai kepada pesalah trafik.






0 Comments
You can be the first one to leave a comment.