Orang ramai merungut ketidakadilan ‘saman ekor’

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mencadangkan tindakan mengenakan saman ‘ekor’ oleh polis trafik dikaji semula berikutan banyak rungutan yang diterima daripada orang ramai mengenai kaedah pelaksanaannya.

Selain itu, KDN akan mencadangkan supaya kadar kompaun maksimum iaitu RM300 yang dikenakan bagi kesalahan saman ‘ekor’ ketika ini turut dikaji kerana dikatakan membebankan rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata beliau sudah mengarahkan Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Mahmood Adam mengadakan perjumpaan dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan dalam tempoh terdekat bagi membincangkan dan mencari jalan penyelesaian bagi kedua-dua isu berkenaan.

“Dalam konteks saman ekor, ramai pemilik kenderaan atau pemandu mendakwa mereka tidak bersalah atau teraniaya. Lagipun, mereka tidak menandatangani saman itu.

“Kita dapat banyak aduan daripada rakyat mengenai saman ekor ini. Perkara ini membabitkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta harus ditangani secara baik,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Kerjasama Antipengganas Malaysia-Australia di sini, semalam.

Hishammuddin berkata, tindakan saman atau kompaun bertujuan mendidik pengguna jalan raya supaya lebih berhemah ketika memandu di jalan raya, namun kaedah pelaksanaannya perlu diteliti supaya tindakan yang diambil adalah adil.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, kementeriannya sudah mengenal pasti tiga depoh tahanan yang perlu diberi perhatian dari segi keselamatan bagi mengelak kejadian 20 tahanan warga Afghanistan melarikan diri dari Depoh Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Ahad lalu, berulang.

Tiga depoh tahanan terbabit ialah Depoh KLIA; Lenggeng, Negeri Sembilan dan Juru di Pulau Pinang. [Berita Harian]

Tags: