
KUALA LUMPUR: Jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya yang dilaporkan hilang bersama tiga individu lain ketika di Banting, Selangor sejak 10 hari lalu, dipercayai disembunyikan di lokasi rahsia oleh kumpulan tertentu kerana perselisihan berhubung soal kewangan membabitkan perniagaan.
Sumber memberitahu Berita Harian, motif sebenar kumpulan itu belum dipastikan, namun polis sudah mengambil keterangan beberapa individu yang rapat dengan ahli perniagaan terbabit yang juga pengasas produk kecantikan, Nouvelle Visgaes bagi mengenal pasti rangkaian konspirasi berkenaan.
Difahamkan wang yang dibawa ahli perniagaan itu ketika kehilangannya bukan RM4 juta seperti yang dilaporkan, tetapi jumlah sebenar tidak dapat dipastikan lagi. Lokasi tanah yang dikatakan mahu diurusniagakan juga bukan di Banting seperti yang didakwa sebelum ini, sebaliknya di Pulau Pinang.
“Difahamkan, Sosilawati ada menemui seseorang di sana (Banting) bagi membincangkan urus niaga tanah, selain mengambil sejumlah wang yang tujuannya belum dikenal pasti.
“Apa kaitan individu itu dengan Sosilawati atau kumpulan yang menyembunyikannya juga belum diketahui. Motif mereka juga masih samar. Namun, mereka dipercayai mempunyai kaitan dengan salah seorang yang turut dilaporkan hilang bersama ahli perniagaan terbabit,” katanya.
Sosilawati, 47, yang juga bekas isteri penyanyi Nash dilaporkan hilang ketika urus niaga tanah di Banting pada 30 Ogos lalu selepas kali terakhir dilihat pada majlis berbuka puasa Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS), di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam dua hari sebelum itu.
Turut hilang bersama beliau ialah peguam dari Tetuan Kamaruddin & Partners di Putrajaya; Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; pegawai bank dari CIMB Bank Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38: dan seorang lelaki, Kamaruddin Shansuddin, 44, yang dikatakan pemandu peribadi Sosilawati.
Difahamkan, mereka menggunakan dua kereta berasingan, iaitu BMW X5 M-Series bernombor pendaftaran WTL 11 milik Sosilawati dan BMW 525i M-Series bernombor pendaftaran AAJ 5 yang kemudian masing-masing ditemui di tempat letak kereta Apartmen Angsana, Taman Subang Mewah dan di hadapan Hotel Dorsett Subang Jaya kira-kira jam 8.30 malam, Isnin lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pada sidang media majlis serah tugasnya semalam, berkata siasatan terperinci sedang dijalankan berpandukan beberapa petunjuk yang diperoleh oleh polis.
“Kita sedang siasat dan yakin boleh menemui semula keempat-empat individu berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah, berkata pihaknya sedang menyiasat kejadian berkenaan secara terperinci dengan segala kemungkinan diambil kira, termasuk mengesan individu terakhir yang ditemuinya sebelum dilaporkan hilang.
Beliau menasihati orang ramai tidak mempercayai khabar angin berhubung kehilangan jutawan terbabit, terutama yang disebarkan melalui SMS.
Sosilawati mengadu ditipu orang kepercayaan
BATU PAHAT: Datuk Sosilawati Lawiya pernah mengadu kepada adiknya beliau ditipu oleh orang kepercayaan yang membantu menguruskan syarikatnya ketika pertemuan terakhir mereka pada akhir bulan lalu.
Rosnani Lawiya, 45, berkata perkara itu didedahkan kakaknya dalam pertemuan di rumahnya di Kampung Sri Menanti, Sri Medan, di sini akhir bulan lalu iaitu selepas kenduri kesyukuran menyambut Ramadan.
Katanya, beliau selalu berpesan kepada kakaknya itu supaya sentiasa berhati-hati dan mengambil tahu semua hal-ehwal kewangan syarikat sendiri dan jangan terlalu mempercayai orang lain bagi mengelakkannya ditipu.
“Saya sering memberi pesanan kepada kakak supaya sentiasa berwaspada. Kak Wati selalu mengatakan beliau amat mempercayai orang di sekelilingnya dan pernah mengatakan dia tidak percaya mereka sanggup mengkhianati kepercayaan yang diberi dengan menipunya.
“Bagaimanapun, pada pertemuan terakhir sebelum Kak Wati hilang, dia mengadu kepada saya apa yang saya pesan kepadanya kini benar-benar berlaku dan dia sedih dan terkejut apabila mengetahuinya.
“Saya ingat dengan jelas kak Wati mengatakan: ‘Kau betul Ni (Rosnani)… aku dah kena tipu. Kau bayangkan, setiap bulan kebelakangan ini untung berniaga tak nampak… lepas bayar duit elektrik dan air, sudah tidak ada duit simpanan. Aku (Sosilawati) tidak suka orang tipu aku Ni… Kalau nak duit minta… jangan curi… buat aku macam ini. Itu kata kakak saya pada pertemuan terakhir kami,” katanya. –Berita Harian






1 Comments
kita sama-sama mendoakan semuanya selamat