TV3 mohon maaf penyiaran iklan hari raya berunsur memesong akidah
KUALA LUMPUR 5 Sept – Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) hari ini memohon maaf kepada seluruh masyarakat Islam kerana penyiaran iklan yang dikatakan mempunyai unsur-unsur yang boleh memesong akidah terutama kanak-kanak.
Sehubungan itu, iklan tersebut yang ditayangkan sejak Khamis lalu telah pun dihentikan penyiarannya semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan ketika dihubungi hari ini berkata, bagi pihak TV3 beliau meminta maaf kepada masyarakat Islam terutama penonton TV3 di atas kesilapan yang tidak disengajakan itu.
“Sebagai orang yang bertanggungjawab meluluskan iklan itu, tidak terlintas di fikiran saya untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak sebaliknya hanya melihat itu sebagai daya kreativiti pengarahnya.
“Dalam iklan selama seminit itu, ia menggambarkan impian seorang kanak-kanak dengan beca ajaibnya sesuai dengan tema TV3 tahun ini iaitu Sinari Lebaran,” katanya.
Sejak Khamis lalu, TV3 menyiarkan iklan sempena hari raya yang menggambarkan seorang ‘Pak Haji’ mengajak kanak-kanak menaiki beca ajaib sehingga melintasi bulan.
Ia seolah-olah menyamai watak Santa Claus menaiki kereta salju yang dipacu oleh sekawan rusa kutub membawa hadiah Hari Natal untuk kanak-kanak.
Iklan tersebut juga menampilkan babak kemunculan pelita melalui bunga teratai yang dikatakan menyamai fahaman agama Buddha.
Iklan tersebut diterbitkan oleh Pengarah Kreatif TV3, Douglas Khoo Hong Seng dengan kos penerbitan RM200,000 dan banyak menggunakan teknik janaan pengimejan komputer (CGI).
Menurut Farid, dengan mengambil kira rungutan dan rasa tidak senang penonton, iklan tersebut telah pun dihentikan pada pukul 9 malam tadi selepas lima kali disiarkan.
”Walaupun iklan itu baru lima kali ditayangkan, kami telah pun menarik penyiarannya demi memelihara keharmonian dan menghargai pandangan penonton.
“Sebagai sebuah stesen televisyen yang sentiasa cuba memberikan yang terbaik kepada penonton, komen-komen begini sedikit sebanyak membantu kami untuk tidak melakukan kesilapan lagi,” katanya.
Farid berkata, disebabkan kesuntukan masa, mulai esok sebagai menggantikan iklan tersebut, TV3 akan menyiarkan iklan raya tahun lalu iaitu ‘Ikan di laut, asam di darat’ arahan Allahyarham Yasmin Ahmad.
Sementara itu, Douglas ketika dihubungi mengenai iklan daripada idea kreatifnya itu akur dengan apa juga keputusan pihak TV3.
Katanya, sebagai Pengarah Kreatif TV3 beliau cuba melahirkan sesuatu yang menarik sesuai dengan tema kali ini iaitu Sinari Lebaran dengan menggambarkan keriangan kanak-kanak.
“Semasa membuat iklan ini, apa yang saya fikir hanyalah untuk melahirkan Melayu milenium dan tidak pernah terlintas untuk menyinggung perasaan orang Islam.
“Saya cuma mahu gambarkan impian dan keriangan kanak-kanak itu dengan beca ajaibnya untuk mencapai apa yang difikirkan kerana saya rasa ia cantik dan sesuai.
“Saya benar-benar menyesal atas apa yang berlaku dan saya memohon maaf kepada masyarakat Islam di atas kesilapan yang tidak disengajakan,” katanya.
Beliau berkata, komen dan pandangan pelbagai pihak akan dijadikan panduan dalam menghasilkan sesuatu karya pada masa depan.
Iklan Sinari Lebaran yang menelan kos sebanyak RM200,000 menjalani penggambaran tiga minggu lalu di Bukit Broga, Semenyih, Negeri Sembilan.
Penggambaran selama seminggu itu mengabadikan babak beca ajaib dari Pulau Pinang, Perak dan Bukit Broga dengan menggunakan CGI dengan lagu latar hari raya ciptaan komposer Jerry dan Bijay dan dinyanyikan oleh Atilia.
VIDEO: Permohonan Maaf dari TV3
VIDEO: Iklan Raya TV3
Stesen televisyen perlu sensitif
KUALA LUMPUR 5 Sept – Penarikan semula tayangan iklan Aidilfitri terbaru oleh stesen televisyen swasta, TV3 yang dikatakan mirip iklan Hari Natal perlu dijadikan pengajaran stesen televisyen lain supaya lebih sensitif dalam menyiarkan iklan di saluran masing-masing.
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) , Datuk Dr. Maamor Osman berkata, perkara seumpama itu dikhuatiri akan menyentuh sensitiviti kaum dan agama masyarakat majmuk di negara ini jika tidak diberi perhatian serius.
“Penyiaran iklan tanpa penilaian oleh badan pemantau yang ditubuhkan menunjukkan stesen televisyen tidak sensitif dan saya berharap perkara seperti ini tidak berulang.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri telah mengingatkan bahawa pengisian yang keterlaluan daripada segi perkauman dan menyentuh sensitiviti agama patut dikenakan tindakan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas penyiaran iklan raya terbaru oleh TV3 yang mengundang kritikan di beberapa buah blog dan laman sosial Facebook kerana menyifatkan ia bertentangan dengan mesej Hari Raya Aidilfitri, sebaliknya mirip kepada iklan Hari Natal.
Sejak Khamis lalu, TV3 menyiarkan iklan sempena hari raya yang menggambarkan seorang ‘Pak Haji’ mengajak kanak-kanak menaiki beca ajaib sehingga melintasi bulan.
Ia seolah-olah menyamai watak Santa Claus menaiki kereta salju yang dipacu oleh sekawan rusa kutub membawa hadiah Hari Natal untuk kanak-kanak.
Iklan tersebut juga menampilkan babak kemunculan pelita melalui bunga teratai yang dikatakan menyamai fahaman agama Buddha.
Iklan tersebut diterbitkan oleh Pengarah Kreatif TV3, Douglas Khoo Hong Seng dengan kos penerbitan RM200,000 dan banyak menggunakan teknik janaan pengimejan komputer (CGI).
Maamor berkata, perkara yang menjadi kebiasaan dalam agama lain tidak seharusnya digunakan dalam promosi perayaan yang disambut oleh umat Islam.
Sementara itu Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Malaysia, Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, penonton bebas mengkritik jika iklan itu didapati bertentangan dengan norma sambutan Aidilfitri.
“Walaupun iklan itu disifatkan sebagai satu seni dan hiburan, namun apabila membabitkan isu agama, kita harus berhati-hati,” katanya. – Utusan Malaysia






11 Comments
[...] TV3 tarik balik iklan raya kontroversi [...]
assalamualaikum…..
syukur alhamdulillah…..memang patut & wajar iklan berkenaan di tarik balik semula…
saya andaikan semua umat islam xkira bangsa pun terfikir kenapa masalah ini berlaku. justeru, kepada individu yang terlibat dengan dunia penyiaran & penerbitan @ yang berkaitan denganya tolong ambil serius perkara ini….
hati2 dalam setiap perkara…media elektronik adalah medium penyebaran ilmu & pengaruh terbesar dan paling berkesan…
wahai saudara islamku….
ingatlah, penjajahan minda n fizikal pasti berlaku dalam pelbagai bentuk…
jadi, mohonla perlindungan dari YANG MAHA BERKUASA.
T/kasih…
douglas ni mmg sengaja cari pasal ngn org islam. patut kena ISA
BTOL 2…
Alhamdulillah segalanye dah selesai…
harap dapat sempadan dengan ape yng berlaku.
Syukran kepada yng sensitif dalam hal ni.
[...] IKLAN YANG BERKAITAN DENGAN PERAYAAN ORANG ISLAM DITERBITKAN OLEH BUKAN ISLAM???!!! …klik disini untuk membaca kenyataan mohon maaf [...]
btol 2…XDE KENA MNGENA ORG BKN ISLAM NGN PRAYAAN ORG ISLAM…JGN SAMA KAN AGAMA LAIN NGAN AGAMA ISLAM…
[...] siaran dan telah memohon maaf kepada semua umat islam di Malaysia.Info lanjut boleh baca kat sini. aku&iklan iklan aidilfiitri, iklan aidilfitri 2010, iklan raya 2010, iklan raya tv3, [...]
… sebagai media kerajaan…. dan media arus perdana perkara ini seharusnya tidak wajar terjadi langsung…. apa yang kreatif sangat kalu pengarah kreatif ketandusan idea…. hanya dengan ciplak or mix and match pun dikatakan kreatif… TV3 harus berfikir dan terus berfikir…. insiden ini amat memalukan…. all our 4 generation has been strogly support kerajaan, tapi bila orang2 kerajaan macam lembu dicucuk hidung mungkin generasi baru kami patut cari haluan baru yang lebih munasabah… patutnya sebagai sebuah media tunggak.. haruslah ada pakar dalam menganalisa karya…. bila orang kristian/budha disuruh hasilkan karya untuk raya melayu/islam tentulah dia terjemahkan minda dia sendiri semasa dia dok raya kecik2 dulu…dan kita pun main hentam ikut saja…dengan alasan melayu milennium…janganlah sampai gadaikan bangsa dan agama hanya untuk dapatkan status milennium ni…..tu belum kita tengok TV arus perdana dengan bangganya dok siarkan cerita indon… indon dan indon yang langsung tak der kualiti…. sedangkan ribuan malah jutaan rakyat indon dok kutuk malaysia…. sedangkan media kerajaan kita masih agung2kan mereka. apakah mesej yang ingin disampaikan pada rakyat malaysia, terutama generasi kini… kerajaan kita terlalu lemah, mudah diperkotak-katik…. ahhhh…. sedarlah bahawa MEDIA adalah penyampai MESEJ…
alhamdulillah..ada yg cepat perasan dgn maksud t’sirat iklan tu..saya sebagai melayu islam mengucapkan tahniah kepada rakan kita yg segera dedahkan isu ni,bagi saya hal sensetiviti agama kita jangan campur dengan politik,walaupun kita b’beza parti tapi bab islam kita kena sama2 tegas.ini bab agama memang x boleh main2.p’juangan politik belum tentu ke syurga tapi p’juangan tegakkan islam..insyaallah syurga lah tempatnya.wallahhuallam.
TV3 ni takde orang yang jaga benda2 ni ke..sampai boleh siar iklan yang macam tu…itu la..asyik satu malaysia je…habis semua nak di satu kan agama pun nak di satu kan..ingat kita ni orang kristian ke..nak buat macam santa klaus pulak..benggong betul TV3 ni..